

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuching menerusi Unit Operasi, Tim Alpha melaksanakan Ops Harian dan Ops Kenderaan Mewah di sekitar Jalan Kuching–Serian, petang tadi.
Dalam operasi berkenaan, sebuah kenderaan mewah didapati melanggar peruntukan undang-undang apabila Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insuransnya telah tamat tempoh sejak 1 September 2025.
Sehubungan itu, tindakan sitaan diambil terhadap kenderaan terbabit selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan pematuhan peraturan jalan raya serta mengelakkan kesalahan berulang.
JPJ Sarawak menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan tahap pematuhan undang-undang sentiasa dipelihara.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa memastikan LKM dan perlindungan insurans kenderaan diperbaharui mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Oleh Shikin Mahmud