
KOTA SAMARAHAN: Pasukan SWAT Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) kini melaksanakan Operasi Buaya Sadong di kawasan Sungai Sadong, Lubok Punggor, Samarahan bermula 23 September sehingga 3 Oktober 2025.
Operasi khas ini bertujuan mengurangkan populasi buaya di sungai berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk kampung yang sering menjalankan aktiviti harian di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, pihak SFC memohon kerjasama penuh daripada penduduk kampung yang berhampiran supaya mengurangkan atau menghentikan sebarang aktiviti sungai seperti memancing, memukat dan menjala sepanjang tempoh operasi dijalankan.
Dalam masa sama, SFC turut menegaskan bahawa sebarang rakaman dan liputan mengenai operasi ini tidak dibenarkan atas arahan Pengawal Hidupan Liar.
Langkah bersepadu ini diyakini dapat mengurangkan risiko serangan buaya serta memberi keyakinan kepada masyarakat setempat untuk meneruskan rutin harian dengan lebih selamat.