

SEKITAR suasana Ops Bersepadu Agensi Bil. 3/2025 diadakan serentak di dua lokasi strategik iaitu Jalan Samarahan-Kuching dan Jalan Kuching-Samarahan semalam.
KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya menerusi pelaksanaan Ops Bersepadu Agensi Bil. 3/2025 diadakan serentak di dua lokasi strategik, iaitu di Jalan Samarahan-Kuching dan Jalan Kuching-Samarahan, semalam.
Operasi ini turut digabungkan dengan Ops Kenderaan Mewah bagi memastikan kenderaan mewah mematuhi sepenuhnya perundangan, termasuk cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah.
Operasi melibatkan kekuatan 70 anggota daripada pelbagai agensi, antaranya JPJ Kuching (enam pegawai, 41 anggota), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) (11 anggota), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Sarawak (empat anggota), JSPT Kota Samarahan (lima anggota) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (tiga anggota).
Sepanjang operasi, JPJ mengeluarkan 373 notis kesalahan pelbagai pelanggaran peraturan jalan raya.
Sebanyak 27 kenderaan turut disita, termasuk 23 motosikal, sebuah lori perdagangan dan tiga kenderaan pelbagai guna – dua Toyota Alphard dan sebuah Mercedes-Benz – atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta ketiadaan insurans sah. JSPT pula mengeluarkan 145 notis kesalahan trafik.
Bagi pemeriksaan AADK, sebanyak 22 saringan air kencing dilakukan dengan lapan individu didapati positif dadah, iaitu tujuh positif methamphetamine dan seorang positif ganja.
SPRM melaporkan tiada kes rasuah atau salah laku sepanjang operasi.
Turut hadir memberikan sokongan moral di lokasi operasi ialah Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Nor Azlan Ibrahim, dan Ketua Seksyen Operasi JPJ Sarawak, Saifullah Ali.
JPJ Sarawak merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat dan menegaskan bahawa operasi seumpama ini mencerminkan iltizam bersama dalam menjaga keselamatan jalan raya, integriti penguatkuasaan serta kesejahteraan rakyat.