
WASHINGTON: Oprah Winfrey menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial semalam bahawa beliau telah menutup sebuah jalan persendirian di hartanah miliknya di Hawaii, sekali gus menghalang penduduk yang dipindahkan segera akibat tsunami ke kawasan tinggi.
Winfrey memiliki sebuah kediaman di Pulau Maui, Hawaii, yang mana amaran tsunami telah dikeluarkan selepas gempa bumi bermagnitud 8.8 melanda Rusia.
Nicole Nichols, jurucakap kepada hos rancangan bual bicara itu, memberitahu AFP bahawa pasukan Winfrey telah menghubungi pihak berkuasa tempatan dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk memastikan jalan tersebut dibuka “sebaik sahaja kami menerima amaran tsunami.”
“Sebarang laporan sebaliknya adalah palsu,” kata Nichols dalam satu kenyataan.

Di media sosial, warga siber yang marah menuduh Winfrey enggan membuka jalan miliknya kepada penduduk yang dipindahkan, meskipun keadaan trafik di pulau tersebut sesak. Beberapa hantaran berkaitan isu itu telah meraih jutaan tontonan.
Namun, pihak berkuasa Maui berulang kali menyenaraikan laluan tersebut sebagai salah satu pilihan dalam amaran kecemasan.
“Jalan Oprah dibuka untuk ke kawasan tanah tinggi (Upcountry),” tulis pihak berkuasa daerah, merujuk kepada Jabatan Polis Maui.
Nichols berkata, pihak penguat kuasa tempatan telah membantu penduduk melalui jalan itu dengan kadar 50 buah kereta pada satu-satu masa, dan laluan tersebut akan kekal dibuka “selagi diperlukan.”
Pusat Amaran Tsunami Pasifik kemudiannya menurunkan status situasi di Hawaii kepada nasihat tsunami, dan pihak berkuasa Maui menarik balik arahan pemindahan.
Tokoh media itu juga pernah berdepan penyebaran maklumat palsu selepas kejadian kebakaran hutan yang memusnahkan Maui pada tahun 2023, apabila teori konspirasi secara palsu mendakwa beliau mengecat bumbung rumahnya dengan warna biru untuk mengelak daripada terkena sinar laser berkuasa tinggi yang kononnya menjadi punca kebakaran. Ada juga yang menuduh beliau sendiri mencetuskan kebakaran sebagai sebahagian daripada rancangan merampas tanah. – AFP