SARIKEI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua seorang warganegara Myanmar yang dilaporkan hilang setelah terjatuh ke sungai di jeti getah Taman Susur Jambu semalam, disambung semula 9.34 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei yang juga komander operasi PPgB Mahmudin Narudin berkata, pasukan SAR memulakan operasi dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
“Radius pencarian pada sebelah pagi ini adalah lima kilometer (km) dari insiden mangsa dilaporkan jatuh dari kapal.
“Pasukan SAR seramai 26 orang terlibat dengan operasi SAR menyelusuri Sungai Rajang, pagi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media, sebentar tadi.
Katanya, pasukan SAR adalah terdiri daripada pihak bomba (enam orang), polis (12 orang), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (enam orang) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei (empat orang).
Terdahulu, mangsa yang dilporkan hilang pada pagi semalam dikenal pasti sebagai Min Wai Lin, berumur 45 tahun.
Menurut laporan polis, pada 6.12 pagi semalam, sebelum kapal hendak mendekati jeti, dua orang anak kapal iaitu rakan mangsa telah memaklumkan kepada pengadu (pengemudi kapal) bahawa mangsa telah terjatuh ke sungai dari kapal tersebut.
Beberapa orang anak kapal cuba menyelamatkan mangsa dengan usaha membaling pelampung yang terdapat di atas kapal ke arah mangsa dan seterusnya mereka cuba menurunkan bot ke sungai bagi menyelamatkan mangsa, namun usaha tersebut gagal dan mangsa didapati telah tengelam.
Setakat berita ditulis, operasi SAR sedang dijalankan dan mangsa masih belum ditemui.
Oleh Earl Anek