

OPERASI SAR di Nanga Buai, Ulu Padeh ditangguhkan selepas memasuki hari ketujuh tanpa sebarang petunjuk baharu. Foto: PGO Bomba Sarawak
BETONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Nanga Buai, Ulu Padeh sejak 24 September lalu, ditangguhkan selepas memasuki hari ketujuh tanpa sebarang petunjuk baharu.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, keputusan itu dicapai selepas perbincangan bersama pihak polis yang terlibat dalam operasi.
Mangsa, dikenali sebagai Rumai Jantin, 75 tahun, dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu. Sehingga kini, usaha pencarian yang melibatkan pelbagai agensi masih belum menemui sebarang kesan atau jejak mangsa.

“Pasukan SAR telah menumpukan pencarian di sekitar kawasan anak Sungai Tebelian dan kawasan rumah panjang dalam radius 3.5 kilometer dengan bantuan Unit K9 Bomba.
“Namun setakat ini mangsa masih belum dijumpai,” menurut kenyataan JBPM Sarawak, semalam.
Operasi SAR tersebut melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dengan kekuatan lima anggota dan satu jentera, dibantu pasukan Unit K9 JBPM Sarawak bersama seekor anjing pengesan, Bella.
Turut serta dalam operasi ialah tujuh orang anggota polis, 10 anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), lima anggota RELA serta 30 penduduk kampung.
Pencarian dijalankan sejak hari pertama insiden dilaporkan, namun selepas tujuh hari, pihak berkuasa memutuskan untuk menangguhkan operasi sehingga terdapat petunjuk baharu yang boleh membantu usaha pencarian.
PGO JBPM Sarawak menegaskan bahawa mereka sentiasa bersiap siaga untuk menyambung operasi pada bila-bila masa sekiranya terdapat maklumat atau perkembangan terkini mengenai keberadaan mangsa.
Oleh Adi Safarman