
BEKENU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menerima panggilan kecemasan berhubung seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Sepurau, di sini pagi tadi.
Menurut Ketua Bomba Balai Penyelamat (BBP) Batu Niah PBT II Rary Binjie ketika dihubungi berkata, panggilan diterima pada 7.59 pagi daripada Sarjan Mohamad Ali dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bekenu, memaklumkan kehilangan seorang lelaki dikenali sebagai Zaidi Talip, 41 tahun, berbangsa Kedayan.

Katanya, mangsa dipercayai keluar ke hutan di belakang rumahnya dengan berpakaian serba hitam serta membawa beg dan sebotol air kecil.
Mangsa juga mempunyai sejarah penyakit asma dan kebimbangan (anxiety).
“Sejurus loceng kecemasan dibunyikan pada 7.59 pagi, sebuah jentera Toyota Hilux telah dikerahkan dan anggota kita tiba di lokasi kejadian pada 8.44 pagi, kira-kira 44 kilometer dari balai.
“Operasi diketuai oleh PBK I Awang Azdwan Awang Sahari selaku penyelia, bersama enam anggota lain,” katanya.
Tambahnya, menurut maklumat awal, seramai 38 penduduk kampung telah memulakan usaha mencari mangsa sejak 7.30 pagi di kawasan hutan rumah mangsa dalam radius kira-kira 200 meter.

“Pasukan bomba seterusnya mengadakan panggilan baris dan taklimat bersama pihak polis pada 9.00 pagi bagi menyelaras tindakan seterusnya untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama.
“Operasi SAR melibatkan kerjasama PDRM seramai empat anggota serta penduduk kampung, dengan pencarian diteruskan bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemui setakat laporan ini dikeluarkan,” jelasnya.
Oleh Adum Liu