Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Operasi SAR hari pertama diperluas sehingga empat kilometer
  • Tengah
  • WILAYAH

Operasi SAR hari pertama diperluas sehingga empat kilometer

Utusan Sarawak 4 hours ago
OPERASI SAR hari pertama semalam masih gagal menemui warga emas yang hilang. Foto PGO Bomba Sarawak

SKRANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama bagi mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan Rumah Richard Tawan, Tebarong, Lubok Skrang diperluaskan sehingga radius empat kilometer di darat dan sepanjang empat kilometer ke hilir serta hulu Sungai Skrang.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian orang hilang itu pada Khamis lalu 9.07 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai.

PENCARIAN diperluaskan sehingga radius empat kilometer di darat dan sepanjang empat kilometer ke hilir serta hulu Sungai Skrang. Foto PGO Bomba Sarawak

Mangsa dikenali sebagai Igoh Sengaling, 84, yang dilaporkan keluar dari rumah panjangnya pada Rabu lalu sekitar 7.00 pagi untuk mendapatkan rawatan dan mengambil ubat di Klinik Skim Skrang dengan menaiki perahu miliknya sendiri. 

Bagaimanapun, beliau tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan selepas urusan tersebut selesai.

Ahli keluarga bersama penduduk rumah panjang telah menjalankan pencarian awal di sekitar kawasan kediaman dan hutan berhampiran selama dua hari, namun gagal menemui sebarang petunjuk. 

Laporan polis kemudiannya dibuat pada Khamis, kira-kira 7.51 malam sebelum operasi rasmi dilancarkan.

PASUKAN menggunakan kaedah ‘tracking’ atau menjejak dengan mengenal pasti kesan tapak kaki, ranting patah dan tanda-tanda laluan yang dipercayai dilalui mangsa. Foto PGO Bomba Sarawak

Operasi SAR hari pertama yang bermula 8.30 pagi melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung. 

Seramai tujuh anggota BBP Betong diketuai Komander Operasi, Yusuf Tamin, digerakkan dengan sebuah van Urvan ke lokasi kejadian.

Pasukan pencarian dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan dua kumpulan menjalankan operasi di darat di seberang sungai berdasarkan petunjuk laluan yang dikenal pasti, manakala satu kumpulan lagi menyusuri sungai. 

Fokus awal tertumpu di lokasi penemuan perahu mangsa yang dianggarkan 1.5 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB), dengan radius pencarian awal satu kilometer di daratan serta dua kilometer ke hulu Sungai Skrang.

Pada sebelah petang, operasi diteruskan 2.00 petang di kawasan penemuan petunjuk baharu kira-kira 1.5 kilometer dari PKB. 

Pasukan menggunakan kaedah ‘tracking’ atau menjejak dengan mengenal pasti kesan tapak kaki, ranting patah dan tanda-tanda laluan yang dipercayai dilalui mangsa.

Radius pencarian di darat kemudian diperluaskan sehingga empat kilometer bermula dari lokasi penemuan kesan jejak kaki serta bekas patahan kayu, manakala pencarian di sungai turut diperluas sejauh empat kilometer ke hilir dan hulu Sungai Skrang bagi memastikan tiada kawasan berpotensi terlepas pandang.

Operasi hari pertama semalam ditangguhkan pada 6.00 petang atas arahan dan hasil perbincangan bersama Ketua Balai Polis Skrang, dan akan disambung semula keesokan harinya. 

Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan usaha pencarian diteruskan dengan penglibatan tujuh anggota PDRM, enam anggota APM serta kira-kira 20 penduduk kampung.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Henry Sum Agong gesa projek Laluan Kereta Api Trans-Borneo (TBR) diteruskan
Next: BSJKD IPD Betong santuni komuniti, perkasa kesedaran cegah penipuan dalam talian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.