
SRI AMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi menjejak seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Rumah Rengkang Lepong Empeliau Ulu yang memasuki hari keempat hari ini, masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.
Mangsa, Tumbu Landa, 67 tahun, yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), dilaporkan hilang sejak 30 September lalu selepas kali terakhir dilihat berada di kawasan kebun berhampiran rumah panjang berkenaan.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, usaha pencarian hari ini turut menggunakan dron milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat tinjauan sejauh tiga kilometer di sekitar kawasan rumah panjang.

“Pada sebelah petang, Asisten Superintenden Polis (ASP) Leonard Mallaca menyusun semula strategi dengan membahagikan pasukan SAR kepada dua kumpulan iaitu Alpha dan Bravo, bagi memperluas kawasan pencarian dalam radius tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Operasi turut dibantu oleh Unit K9 PDRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PGO menambah, operasi pada hari ini ditangguhkan sekitar 5.00 petang dan akan disambung semula esok. Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai.
Insiden kehilangan Tumbu disedari anaknya pada 30 September sekitar 5.00 petang apabila mendapati ibunya itu tiada di rumah. Pencarian awal oleh ahli keluarga dan penduduk kampung tidak menemui sebarang hasil.

Keesokan harinya, usaha mencari diteruskan oleh penduduk sekitar sebelum laporan dibuat kepada pihak polis.
Seramai 46 anggota daripada pelbagai agensi dan komuniti setempat terlibat dalam operasi tersebut, terdiri daripada PDRM (tujuh anggota), Unit K9 PDRM (dua anggota dan seekor anjing pengesan), Unit Dron PDRM (dua anggota), Angkatan Pertahanan Awam (10 anggota) serta 25 orang penduduk kampung.
Pihak berkuasa menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa agar segera menghubungi balai polis atau bomba berhampiran.
Oleh Adi Safarman