Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Operasi SAR hari kedua masih buntu temukan lelaki warga emas  
  • Tengah
  • WILAYAH

Operasi SAR hari kedua masih buntu temukan lelaki warga emas  

Utusan Sarawak 2 days ago
 OPERASI SAR memasuki hari kedua yang dijalankan hari ini masih gagal menemukan mangsa. Foto: PGO Bomba Sarawak

ENGKILILI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang di kawasan Rumah Baie Merio Tambak, di sini, masih buntu menemukan mangsa meskipun memasuki hari kedua pencarian, hari ini.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, usaha mengesan mangsa, Chin Shin Fah, 60, diteruskan seawal pagi dengan penglibatan pelbagai agensi dan penduduk setempat.

Mangsa dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar dari ruai rumah panjang berkenaan sekitar 11.30 malam pada Sabtu lalu ketika menghadiri upacara sembahyang bersama ahli keluarganya.

Kenyataan itu memaklumkan, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman terlibat dalam operasi hari kedua yang diketuai Komander Operasi, Andrew Vengitasamy.

Pada 7.40 pagi, lapan anggota SAR bertolak ke lokasi untuk melapor diri di Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) sebelum taklimat operasi bersama agensi lain disampaikan oleh ASP Leonard Mallaca dari Balai Polis Sri Aman sekitar 9.40 pagi.

Pasukan SAR kemudian dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan lokasi pencarian tertumpu di hutan berhadapan rumah panjang, kawasan ladang sawit serta sepanjang Sungai Merio dalam radius dua kilometer menggunakan kaedah pencarian menyeluruh dan pengawasan keselamatan.

Unit K9 JBPM yang diketuai PBK Steven bersama seekor anjing pengesan turut digerakkan bagi membantu mengesan jejak mangsa. Unit berkenaan tiba di PKOB pada 11.01 pagi.

Bagaimanapun, hasil pencarian pada sebelah pagi masih gagal menemukan sebarang petunjuk baharu dan operasi disambung semula pada 2.30 petang dengan kaedah sama di sekitar kawasan kebun, tebing sungai serta jalan raya.

Pada 4.30 petang, semua pasukan SAR kembali ke pangkalan operasi selepas melakukan pencarian menyeluruh namun masih tiada sebarang petunjuk mangsa ditemui.

Operasi hari kedua akhirnya ditangguhkan pada 5.00 petang dan akan disambung semula esok dengan strategi pencarian yang dipertingkatkan.

Operasi tersebut melibatkan kerjasama enam anggota PDRM, dua anggota Unit K9 JBPM, lapan anggota JBPM, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Lubok Antu serta kira-kira 30 penduduk kampung.

PGO JBPM Sarawak turut memaklumkan bahawa antara cabaran utama operasi adalah ketiadaan liputan komunikasi di lokasi kejadian apabila kawasan berkenaan tidak mempunyai liputan rangkaian.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Lambakan buah tempatan turunkan harga di Tamu Taman Tunku
Next: Pemindahan gentian optik projek Lebuh Raya Pesisir Utara Sarawak diharap tidak jejaskan telekomunikasi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.