
BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selepas keluar mencari katak di hutan sekitar Rumah Puyu, Sebauh diteruskan untuk hari kedua hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi tidak dapat dijalankan pada sesi pagi berikutan hujan lebat di kawasan pencarian.

“Namun, operasi SAR dimulakan pada 2.00 petang menggunakan konsep L.A.S.T (Follow The Stream) sejauh 1.1 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ke dalam hutan dan sepanjang tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi SAR yang turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa ditangguhkan pada 4.40 petang atas faktor cuaca dan keadaan gelap.
Mangsa, Rudy Ranggau, 36 dilaporkan keluar dari kediamannya pada 5.00 pagi, 14 Jun lalu untuk mencari katak berhampiran Sungai Asau dan Sungai Puyu di belakang rumah panjang tersebut, namun tidak pulang sehingga kini.
Oleh Carolyne Utih