
KABONG: Seorang lelaki berusia 51 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar ke kebun sawit di Empayang, Kabong, sehingga mendorong operasi mencari dan menyelamat digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, hari ini.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.44 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok digerakkan ke lokasi.
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I, Fis-hak Illah-hi, dengan kekuatan tiga anggota serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Hilux.
Menurut laporan awal, pasukan bomba terlebih dahulu bergerak ke Balai Polis Kabong bagi mendapatkan maklumat lanjut serta merancang pengoperasian mencari mangsa.
Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh adik mangsa, Jonical Usang Akau, 32, abangnya, Jobeni Akau, 51, telah keluar dari rumah menuju ke kebun sawit Empayang pada 12 Jun lalu.
Pada keesokan harinya, Jonical menghantar makanan ke kebun berkenaan namun mendapati makanan yang ditinggalkan sehari sebelumnya masih tidak terusik.
Mangsa yang kebiasaannya akan pulang ke rumah selepas lima hari bagaimanapun tidak kembali sehingga kini, menyebabkan ahli keluarga membuat laporan polis di Balai Polis Kabong serta mendapatkan bantuan pihak bomba.
Mangsa digambarkan bertubuh kurus dengan anggaran berat sekitar 40 kilogram, tidak mempunyai gigi hadapan, mempunyai misai dan jambang nipis serta berambut panjang sehingga paras bahu.
Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai pakaian lusuh dengan sehelai pakaian diikat pada bahagian pinggang dan berseluar pendek.
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengesan keberadaan mangsa, manakala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Oleh Adi Safarman