SIBU: Dua lelaki tempatan berusia 16 dan 27 tahun ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Awang Ramli Amit dan Dataran Sibu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya.
“Operasi dari jam 9 malam hingga jam 2 pagi itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata dalam operasi itu pelbagai kesalahan dan tindakan saman diambil, antaranya kesalahan tiada lesen memandu, ubahsuai ekzos, plat nombor, tiada cermin sisi, tidak dilindungi insurans dan aksesori tidak sempurna.
“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang jalan raya. Ibu bapa juga disaran supaya memantau dan peka dengan aktiviti anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN