
KUCHING: Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching berjaya menahan seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi bersepadu yang dilaksanakan secara intensif di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, meliputi Muara Tuang, Matang Jaya, Kota Sentosa serta Taman Berjaya, Batu 4.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, siri operasi tersebut digerakkan bermula awal pagi semalam dan berakhir pada jam 6.00 pagi hari ini, melibatkan kekuatan 31 pegawai penguat kuasa.
Serbuan dijalankan ke atas premis kediaman dan perniagaan yang dikenal pasti berisiko tinggi menempatkan warga asing tanpa dokumen sah.
Hasil pemeriksaan menyeluruh di setiap lokasi, pasukan operasi berjaya mengesan dan menahan 71 individu yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas lawatan.
JIM Sarawak menegaskan bahawa kejayaan operasi ini memperlihatkan komitmen berterusan pihak penguat kuasa dalam memastikan undang-undang imigresen dipatuhi sepenuhnya serta membanteras kegiatan yang melibatkan keberadaan PATI di negeri ini.
Tambah kenyataan itu, pihak jabatan akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan melalui operasi berkala dan berterusan, termasuk pemantauan rapi di kawasan-kawasan tumpuan yang sering dijadikan lokasi persembunyian pendatang tanpa izin.



Dalam masa sama, majikan serta pemilik premis turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur berkaitan penggajian dan penempatan pekerja asing bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
Orang awam juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti atau kehadiran PATI kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membendung isu tersebut secara menyeluruh.
Oleh Adi Safarman