
BAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau telah mengeluarkan lima saman selepas memeriksa 127 kenderaan dan 139 individu dalam satu Operasi Pencegahan Jenayah Bersepadu yang dijalankan di sini, hujung minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata operasi tersebut dilaksanakan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang semakin hampir, selaras dengan komitmen polis dalam memastikan keselamatan awam dan ketenteraman masyarakat.

Menurut beliau, operasi bersepadu itu melibatkan rondaan pencegahan jenayah, pemeriksaan kenderaan dan individu, serta pemantauan keselamatan di kawasan bandar, kawasan perumahan dan laluan yang dikenal pasti berisiko.
Beliau menambah bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kehadiran polis sentiasa dirasai oleh masyarakat serta bagi mencegah sebarang bentuk kegiatan jenayah.
Oleh Connie Chieng