KUCHING: Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, pelaksanaan OPA merupakan antara tindakan yang digariskan menerusi Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi menangani keadaan jerebu yang semakin memburuk.
“Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam,” menurut kenyataan JAS hari ini.
Menurut JAS, pihaknya bersama kementerian dan agensi berkaitan pengurusan bencana jerebu akan bertindak dengan lebih cepat dan responsif berdasarkan perkembangan semasa kualiti udara.
Selain OPA, antara tindakan di bawah PTJK termasuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
JAS berkata, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200.
Dalam perkembangan sama, JAS meneruskan pemantauan berterusan terhadap bacaan IPU, kejadian titik panas, keadaan cuaca serta perkembangan jerebu bagi memastikan tindakan dapat diselaraskan dengan kementerian dan agensi berkaitan.
JAS Negeri Sarawak turut meneruskan rondaan, Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), pemantauan serta tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka dan punca pencemaran yang dikenal pasti, khususnya di kawasan berisiko.
JAS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang kes pembakaran kepada pihak berkuasa bagi membantu mengawal keadaan jerebu.





