KUCHING: Operasi pemadaman kebakaran di Kilang Liew Shin Huat, Semaba Road, Batu 5, di sini masih diteruskan memasuki hari kedua hari ini bagi memastikan sisa kebakaran dan bara yang masih terdapat di lokasi dipadam sepenuhnya.
Kebakaran yang berlaku sekitar 5.22 petang semalam itu memusnahkan sepenuhnya sebuah kilang dua tingkat berstruktur separuh kekal berkeluasan 45.72 x 30.48 meter.
Kebakaran turut merebak ke tiga rumah berhampiran, dengan dua rumah masing-masing mengalami kemusnahan sekitar 30 peratus, manakala sebuah rumah jenis semi-D mengalami kemusnahan 75 peratus.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran sekitar 6.40 petang semalam dan menghalang api daripada merebak ke kilang bersebelahan.

Bagaimanapun, kerja-kerja pemadaman dan overhaul masih dijalankan hari ini bagi memastikan tiada lagi bara atau sisa kebakaran yang boleh menyebabkan api kembali merebak.
Operasi turut dibantu sebuah jengkaut milik premis bagi memudahkan anggota bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman serta pemeriksaan di kawasan terbabit.
Seramai 34 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dengan sokongan tiga jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), sebuah Jentera Bomba dan Penyelamat Kompak (CFRT), dua tangki air serta sebuah kenderaan Hilux.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Oleh Afiq Sallehi





