
APABILA bercakap tentang operasi dalam sejarah Sarawak, ia biasa melibatkan bidang ketenteraan.
Baru-baru ini di Padang Merdeka, Kuching dibuat satu upacara peringatan tentang Operasi Semut yang melawan pemerintahan Jepun di Sarawak.
Semasa era konfrantasi beberapa lagi operasi dijalankan sama ada bersifat ketenteraan mahupun kempen menawan hati rakyat untuk melawan musuh.
Antaranya ialah Operasi Harapan, Operasi Jalan Raya dan Operasi Hammer.
Namun, terdapat satu operasi yang cukup unik pernah dijalankan oleh pihak British, bukan untuk menentang musuh yang mengancam kedaulatan negara, tetapi untuk menangani makhluk perosak iaitu tikus.
Operasi ini dikenali sebagai ‘Operasi Menerjunkan Kucing’ (Cat Drop Operation).
Di media sosial, kita sering disajikan dengan pelbagai ragam comel kucing peliharaan masing-masing.
Malah, pelbagai kisah menarik tentang kucing turut dikongsi, seperti hubungan unik antara kucing dan kapibara di Zoo Negara, serta kenakalan kucing bernama Oyen yang sering mencuit hati warganet.
Namun, mungkin kita tertanya-tanya — adakah kucing ini pernah memainkan peranan yang berbeza, jauh daripada apa yang biasa kita lihat hari ini?
Peradaban
Sebenarnya, kucing juga memainkan peranan penting dalam sejarah dan peradaban manusia.
Dalam Peradaban Mesir, misalnya, kucing dianggap sebagai haiwan istimewa, bukan sahaja dalam kehidupan seharian, malah dalam aspek keagamaan.
Kucing membantu manusia menghindari ancaman haiwan dan serangga berbisa seperti ular dan kala jengking.
Selain itu, ia turut berperanan dalam mengawal makhluk perosak seperti tikus yang boleh merosakkan sumber makanan manusia.
Dalam bidang keagamaan, masyarakat Mesir Purba percaya bahawa kucing memiliki keistimewaan tersendiri, malah ada yang mengaitkannya dengan dewi Bastet.
Kepentingan kucing ini kemudiannya tersebar hingga ke peradaban Yunani dan Rom, yang turut menghargai peranan kucing dalam menjaga kebersihan dan melindungi sumber makanan daripada ancaman makhluk perosak.
Pada Zaman Pertengahan di Eropah, kucing pula sering dikaitkan dengan ilmu hitam dan sihir.
Akibat kepercayaan ini, banyak kucing — terutamanya kucing hitam — dibunuh kerana dianggap sebagai pembantu ahli sihir atau jelmaan roh jahat.
Malangnya, pembunuhan besar-besaran terhadap kucing ini memberi kesan negatif apabila populasi tikus meningkat secara mendadak, sekali gus menyumbang kepada penularan wabak Black Death (bubonic plague) yang meragut jutaan nyawa di benua itu.
Berbeza pula keadaannya di Jepun, di mana kucing dianggap sebagai simbol tuah dan pelindung.
Ini dibuktikan dengan kemunculan patung Maneki-neko, iaitu patung kucing yang mengangkat sebelah tangan seolah-olah memanggil tuah dan kekayaan.
Patung ini masih digunakan secara meluas hingga hari ini, terutama di premis perniagaan.
Menariknya di United Kingdom, pejabat Perdana Menterinya di 10 Downing Street, London bukan setakat dikawal oleh pasukan keselamatan tetapi terdapat seekor kucing bernama Larry berkhidmat di pejabat tersebut.
Larry telah berkhidmat di 10 Downing Street sejak tahun 2011 sehingga ke hari ini.
Larry juga telah berkhidmat kepada beberapa orang perdana menteri Britain dari David Cameron hingga Keir Starmer.
Nama
Begitulah kisah kucing sepanjang sejarah peradaban manusia— penuh dengan warna hitam dan putih, suka dan duka.
Namun secara keseluruhannya, kucing tetap mempunyai tempat yang istimewa dan kisah tersendiri dalam kehidupan manusia.
Tidak terkecuali juga di Sarawak.
Malah ibu negeri Sarawak dikenali sebagai Kuching. Nama ini diambil kerana beberapa pendapat.
Ada yang mengatakan James Brooke yang menamakannya kerana semasa di atas kapalnya, beliau melihat banyak kucing di tebingan Sungai Sarawak.
Pendapat kedua mengaitkan dengan anak sungai yang dinamakan Sungai Kucing.
Tidak kurang juga mengaitkannya dengan bukit mata Kucing.
Ada juga pihak yang menafikan bahawa nama ‘Kuching’ berasal daripada haiwan tersebut, dengan alasan bahawa masyarakat tempatan di Sarawak tidak menggunakan perkataan “kucing” untuk merujuk kepada haiwan itu.
Namun, perlu difahami bahawa bandar Kuching dibuka oleh Pengiran Mahkota, seorang bangsawan dari Brunei.
Dalam dialek Melayu Brunei, haiwan itu memang disebut sebagai “kucing”.
Hal ini menunjukkan bahawa nama bandar — kini sebuah bandar raya — sememangnya mempunyai kaitan dengan haiwan tersebut.
Malaria
Berbalik pula dengan Cat Drop Operation, kucing sekali lagi menghiasi sejarah Sarawak.
Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Cat Drop Operation ini mempunyai kaitan dengan usaha mengawal penyakit malaria.
Pada zaman pemerintahan koloni British, salah satu penyakit yang masih sukar dikawal adalah malaria.
Oleh itu, pelbagai usaha digerakkan untuk menghapuskan penyakit ini.
Maka munculnya Projek Malaria yang digerakkan seawal 1950-an.
Projek Malaria ini mempunyai pelbagai pendekatan untuk menangani masalah penyakit ini.
Antaranya adalah melakukan semburan racun DDT ke kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi menyebabkan penyakit ini.
Usaha penyemburan racun ini, walaupun bertujuan untuk membasmi nyamuk pembawa malaria, turut memberi kesan terhadap ekosistem, khususnya terhadap haiwan seperti kucing — sama ada peliharaan mahupun liar.
Akibatnya, banyak kucing mati selepas memakan serangga atau cicak yang telah tercemar dengan racun tersebut.
Kesan ketara dalam hal ini adalah meningkatnya populasi tikus.
Populasi tikus yang tidak terkawal akhirnya menyebabkan tanaman padi dan bekalan makanan penduduk terjejas.
Bukan itu sahaja — tikus-tikus ini turut menyebabkan kerosakan terhadap barangan harian penduduk seperti pakaian, selimut, dan jala menangkap ikan masyarakat pedalaman Sarawak.
Ada laporan yang mencatatkan bahawa tikus menggigit kuku kaki orang yang sedang tidur, malah turut mengigit penutup radio transistor — salah satu peralatan moden yang ketika itu dianggap amat berharga dan canggih di kawasan pedalaman.
Kesan sampingan lain yang lebih membimbangkan ialah penularan penyakit berbahaya seperti tikus dan taun, yang merupakan penyakit bawaan tikus.
Ini menjadikan situasi semakin meruncing, dan memperkukuh lagi keperluan untuk segera mengawal populasi tikus — sekali gus mendorong pelaksanaan Cat Drop Operation sebagai satu jalan penyelesaian luar biasa.
Operasi menerjun
Untuk mengatasi masalah ini usaha telah dibawa untuk menghantar kucing ke kawasan terjejas.
Ketika itu Sarawak masih lagi ketinggalan dalam aspek pengangkutan darat.
Kawasan terjejas seperti Bario di Tanah Tinggi Kelabit sukar dihubungi. Ia mengambil masa seminggu untuk sampai ke kawasan tersebut.
Hanya satu jalan sahaja difikirkan paling berkesan untuk menghantar kucing ini ke kawasan Tanah Tinggi Kelabit iaitu melalui jalan udara.
Pilihan ini telah digunakan oleh pihak British untuk membantu penduduk pedalaman mengatasi masalah tersebut.
Maka bermulalah Cat Drop Operation.
The Royal Air Force melakukan usaha menerbangkan kucing-kucing ini ke Tanah Tinggi Kelabit.
Kucing-kucing ini merupakan kucing yang didermakan oleh penduduk Kuching kepada pihak berkuasa untuk membantu penduduk Bario.
Operasi Cat Drop ini bermula pada lewat Mac 1960, dengan melibatkan penerjunan sebanyak 23 ekor kucing ke kawasan pedalaman Sarawak yang dilanda masalah populasi tikus yang semakin tidak terkawal.
Selain kucing, pihak berkuasa British juga membawa bersama mereka sebanyak 7,000 paun peralatan serta bekalan, yang turut dijatuhkan ke kawasan tersebut menggunakan payung terjun.
Kucing-kucing yang diterjunkan dari ketinggian sekitar 400 kaki (ada juga yang menyatakan ketinggian 1,000 kaki) diletakkan dalam kotak sebelum dijatuhkan ke kawasan sasaran.
Beratus penduduk di Tanah Tinggi Kelabit menunggu dengan rasa teruja menanti barang-barang yang diterjunkan.
Dengan kata lain, sejarah adalah suatu perjalanan yang penuh dengan keindahan dan keunikan yang mungkin sukar untuk kita bayangkan.
Pelbagai peristiwa telah berlaku, bukan sahaja melibatkan tindakan manusia, malah turut melibatkan haiwan yang memainkan peranan penting dalam peradaban dunia.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti SainscSosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).