
DARO: Operasi pemadaman kebakaran hutan melalui udara berjaya mengawal kemerebakan api di Kampung Penasu selepas pelaksanaan pengeboman air oleh pesawat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan, pesawat Mi-171 milik JBPM bersama 12 kru digerakkan dari Pangkalan Udara Wilayah Sarawak, Miri pada 9.30 pagi sebelum tiba di lokasi sekitar 12.00 tengah hari.
“Operasi pengeboman air selama satu jam 30 minit itu berjaya melaksanakan 20 curahan air berjumlah 40,000 liter yang diambil dari Sungai Hulu Seredang,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, pemadaman udara menyasarkan sepanjang perimeter kebakaran bagi mengawal penularan api ke kawasan berhampiran.
“Hasil pemantauan udara mendapati kebakaran berjaya dikawal berikutan kewujudan ‘jurang api’ berupa sistem perparitan di sekeliling kawasan terjejas.
“Susulan itu, komander pesawat mengambil keputusan menamatkan operasi udara dan menyerahkan sepenuhnya tugas pemadaman kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro untuk tindakan pemadaman di darat serta kerja-kerja pembersihan sisa kebakaran,” katanya.
Katanya, keadaan cuaca dilaporkan berangin sederhana kencang dengan hujan di beberapa kawasan berhampiran lokasi kebakaran.
“Pesawat berkenaan dijadualkan berlepas pulang ke Miri petang ini selepas pengisian bahan api di Lapangan Terbang Sibu,” katanya lagi.
Oleh Akun Giman