
MARUDI: Sarawak Energy menerusi syarikat operasinya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO), berjaya menumpaskan sebuah operasi perlombongan mata wang kripto haram yang beroperasi di sebuah rumah kayu terbiar di Lubok Nibong, di sini.
Kegiatan jenayah itu dikesan hasil pemeriksaan rutin oleh pasukan teknikal SESCO, meskipun premis berkenaan terletak jauh di kawasan pedalaman dan dipercayai dipilih bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat kabel sambungan terus dari tiang elektrik berhampiran yang disambung secara haram tanpa melalui meter, bagi membekalkan tenaga kepada tiga pelayan (server) perlombongan kripto.
Semua peralatan yang digunakan dalam operasi haram itu telah dirampas dan satu laporan polis telah dibuat. Mereka yang terlibat berdepan tindakan tegas di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik, yang memperuntukkan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Sarawak Energy memaklumkan bahawa kecurian elektrik melibatkan aktiviti perlombongan kripto semakin membimbangkan kerana ia memberi tekanan kepada grid tenaga dan boleh menyebabkan gangguan bekalan kepada penduduk serta premis perniagaan berhampiran.
Lebih merisaukan, sambungan haram sebegini berisiko tinggi menyebabkan kebakaran, merosakkan peralatan elektrik dan membahayakan nyawa.
Sebagai langkah berterusan membanteras kecurian tenaga, Sarawak Energy giat menjalankan pemantauan ke atas premis terbiar dan kawasan luar bandar.
Pasukan pemeriksaan turut dilatih serta dilengkapi dengan kepakaran untuk mengesan pelbagai bentuk penyelewengan elektrik.
Orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan bekalan elektrik secara anonim melalui Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, emel ke customercare@sarawakenergy.com atau menerusi aplikasi mudah alih SEB Cares.
Segala maklumat yang diterima akan dirahsiakan.