

Polis memeriksa kenderaan
KUCHING: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah melaksanakan Operasi Kenderaan Perdagangan di Jalan Setia Raja semalam bermula 10.00 pagi hingga 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata sebanyak 52 kenderaan dan 68 individu telah diperiksa sepanjang operasi tersebut dijalankan.
Beliau berkata sebanyak tujuh keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan aspek keselamatan kenderaan dan pematuhan lesen.
Menurutnya, operasi ini bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas yang berkuat kuasa serta meningkatkan tahap keselamatan semua pihak.
Alexson menasihatkan pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan sempurna, memiliki lesen GDL atau vokasional yang sah, tidak melakukan sebarang pengubahsuaian tanpa kelulusan pihak berkuasa serta mematuhi peraturan lalu lintas pada setiap masa.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan diri, muatan dan pengguna jalan raya lain hendaklah sentiasa diutamakan.
Pihak polis juga akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya.