

KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (LPKP) menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan bilangan pengendali kenderaan komersial di negeri ini yang beroperasi tanpa lesen sah.
Pengerusi LPKP Sarawak Michael Kong Feng Nian berkata keadaan itu amat membimbangkan terutamanya apabila terdapat pengendali tidak berlesen yang terlibat dalam projek syarikat berkaitan projek kerajaan.
Menurutnya pematuhan terhadap keperluan pelesenan bukan sekadar formaliti tetapi bertujuan memastikan pengendali memenuhi piawaian keselamatan insurans dan peraturan minimum demi melindungi pengguna jalan raya dan orang awam.
“Apabila pengendali gagal mendapatkan lesen yang diperlukan mereka bukan sahaja melanggar undang-undang malah mendedahkan diri sendiri serta orang awam kepada risiko yang serius,” katanya.
Beliau berkata isu perlindungan insurans juga amat membimbangkan kerana sekiranya berlaku kemalangan melibatkan pengendali tidak berlesen syarikat insurans boleh menolak tuntutan akibat ketidakpatuhan terhadap keperluan undang undang.
“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa tidak menerima pampasan sewajarnya serta menimbulkan beban kewangan dan perundangan yang tidak perlu kepada semua pihak,” katanya.
Kong menegaskan bahawa semua prinsipal termasuk agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan bertanggungjawab memastikan kontraktor yang dilantik memiliki lesen sah sebelum dibenarkan memulakan kerja.
“Melantik pengendali tanpa lesen adalah tidak bertanggungjawab dan menjejaskan keselamatan awam,” katanya.
Beliau menggesa semua pengendali kenderaan komersial yang masih belum memperoleh lesen berkaitan daripada LPKP Sarawak supaya segera mengemukakan permohonan dan mengesahkan operasi mereka.
“Proses permohonan diwujudkan untuk memudahkan pematuhan dan bukan untuk menyukarkan perniagaan yang sah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa aduan telah dikemukakan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ Sarawak dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pihak yang ingkar.
“Tiada kompromi dalam soal keselamatan awam dan pematuhan peraturan. Undang undang terpakai kepada semua dan mereka yang mengingkarinya perlu bersedia menerima akibatnya,” katanya.
Oleh Connie Chieng