WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam menghentikan operasi Starship SpaceX dan mengarahkan syarikat Elon Musk itu untuk menyiasat punca kapal angkasa berkenaan musnah dalam satu letupan di Laut Caribbean semasa ujian misi terbarunya.
Pihak berkuasa di Kepulauan Turks dan Caicos mengesahkan mereka melencongkan semua penerbangan dari ruang udara semasa insiden itu dan menasihatkan penduduk supaya tidak menyentuh serpihan yang jatuh kerana ia mungkin berbahaya.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan SpaceX untuk menyiasat kejadian terbabit.
Tiada laporan kecederaan awam dan FAA bekerjasama dengan SpaceX untuk mengesahkan kerosakan harta benda awam di Turks dan Caicos.
Ketika kejadian, protokol “Kawasan Tindak Balas Serpihan” diaktifkan untuk melambatkan pesawat atau menghentikan pesawat di lokasi berlepas mereka.
Beberapa pesawat terpaksa dilencongkan kerana kekurangan bahan api.
Mengikut prosedur yang ditetapkan, SpaceX kini dikehendaki menjalankan siasatan terhadap kejadian berkenaan termasuk mengenal pasti sebarang tindakan pembetulan yang akan disemak oleh FAA sebelum memutuskan sama ada kenderaan pelancaran boleh kembali beroperasi.
Sebagai alternatif, syarikat itu boleh memohon untuk kembali beroperasi lebih awal jika ia dapat menunjukkan langkah-langkah keselamatan yang mencukupi dan mengesahkan kejadian terbabit tidak membahayakan orang awam.
Kerajaan Kepulauan Turks dan Caicos, sebuah kepulauan yang dikawal oleh Britain, mengesahkan pengalihan semua penerbangan semasa insiden berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan di media sosial dengan gambar dan video mengenai hujan serpihan yang menyerupai meteor.
Pegawai turut bertemu dengan pakar dari Agensi Angkasa UK dan mengulangi amaran kepada penduduk untuk mengelakkan serpihan yang jatuh.
“Jika boleh, ambil gambar objek berkenaan (tanpa menyentuhnya) bersama objek lain untuk ukuran skala,” kata satu nasihat awam, dengan menekankan, “Serpihan angkasa tetap milik pemilik kapal angkasa itu. – AFP