BEKENU: Setakat 2.48 petang, pasukan yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang berada di lapangan sejak 8.55 pagi tadi belum menemui Salim Idris.
Seramai 27 anggota melibatkan empat agensi turun padang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Operasi pasukan PDRM diketuai Sarjan Rudy (Bekenu), bomba diketuai PBT II Rary Binjie (Batu Niah) dan APM diketuai KPL (PA) Sabri Maula.
Turut menyertai SAR, penduduk kampung sekitar kawasan penempatan mangsa di sini, pagi tadi.
Usaha dipergiatkan untuk menjejaki mangsa, 72, dari Kampung Masjid Tiris, dikhuatiri hilang dalam perjalanan ke kebun sekitar 10.00 pagi namun dilaporkan gagal pulang ke rumah sejak hari itu iaitu 20 Mac yang lalu.
Balai Polis Bekenu telah menerima panggilan kejadian orang hilang pada 5.25 petang kelmarin dan operasi diadakan bermula 8.55 pagi tadi.
Kali terakhir Mangsa dilihat oleh orang kampung di jambatan laluan ke Rumah Panjang Albion Tiris pada 20 Mac lalu sebelum dilaporkan hilang.
Operasi hari pertama semalam disertai lapan anggota PDRM, lima bomba, APM dan RELA masing-masing tujuh anggota.
Turut turun memantau operasi, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu.
Turut berkunjung ke rumah mangsa hilang kelmarin ialah Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus.
Oleh Adum Liu