
IMBASAN.... Pasukan penyelamat berada di lokasi lelaki disambar buaya di tebing sungai berdekatan Jalan Matang, Kuching baru-baru ini. Foto ihsan JBPM
KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) akan menjalankan operasi memburu buaya ganas berikutan insiden serangan reptila itu di Sg. Paroh, di sini baru-baru ini.
Operasi itu yang bermula esok hingga 13 Julai, melibatkan kerjasama antara pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) SFC bersama agensi penguatkuasaan lain.
“Lokasi kejadian telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko dan pemantauan rapi sedang dijalankan.
“Penduduk dinasihatkan agar menangguhkan sebarang aktiviti sungai di kawasan tersebut sepanjang tempoh operasi.
“SFC akan menambah papan tanda amaran bahaya buaya di lokasi strategik, selain meneruskan Kempen Kesedaran 3M Buaya (Mengenali, Memahami, Memulihara), dengan penekanan khusus terhadap langkah keselamatan semasa berada di habitat buaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam kejadian baru-baru ini, seorang mangsa Jacob Tuan, 32, meninggal dunia dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di tebing sungai berhampiran Jalan Matang menuju Kampung Paroh.
Menurut SFC, berikutan insiden itu pihaknya telah mengaktifkan operasi pemburuan buaya ganas di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan keselamatan orang awam terus terpelihara.
“Arahan telah dikeluarkan oleh Controller Hidupan Liar merangkap Pengurus Besar SFC agar buaya yang dikenal pasti sebagai ancaman dikeluarkan serta-merta.
“Antara punca utama buaya semakin kerap muncul berhampiran penempatan ialah pembuangan sampah, sisa makanan, bangkai haiwan ke sungai serta tindakan memberi makan kepada buaya.
“Amalan ini perlu dihentikan kerana ia menarik buaya untuk mendekati dan kekal di kawasan penduduk, sekali gus meningkatkan risiko serangan,” katanya.
Sehubungan itu, SFC akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Pejabat Daerah dan Lembaga Sungai Sarawak dalam memperkukuh kesedaran awam tentang pentingnya menjaga kebersihan sungai dan keselamatan komuniti.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika berada di habitat buaya, terutama pada waktu malam.
Menurut kenyataan itu lagi, pemancing dan pengguna sungai digalakkan merujuk kepada panduan keselamatan yang dikongsikan oleh agensi berkaitan termasuk SFC.
“Sebarang kemunculan buaya yang mengancam keselamatan boleh dilaporkan melalui aplikasi Sarawak Croc Watch atau terus ke talian hotline SFC,” katanya.