
BETONG: Kawalan keselamatan di daerah ini terus diperkukuh apabila Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Betong melaksanakan Operasi Bersepadu Cegah Jenayah dan Samseng Jalanan secara intensif di beberapa kawasan titk panas jenayah, hari ini.
Operasi bermula 5.00 petang hingga 10.00 malam ini digerakkan mengikut Perintah Gerakan Ketua Polis Daerah Betong Bil. 122/2025 dan diketuai Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong selaku Pegawai Pemerintah.
Sebanyak 37 individu diperiksa, terdiri daripada 35 lelaki dan dua wanita. Turut diperiksa ialah 30 kenderaan, melibatkan 25 motosikal dan lima motokar.

Tindakan penguatkuasaan turut dipertingkat dengan 16 saman polis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, manakala pihak JPJ Betong mengeluarkan 34 notis, termasuk Notis P.22, Notis Arah Periksa Seksyen 61(1) APJ serta Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG.1).
Tiada tangkapan atau rampasan dibuat, namun kehadiran polis secara berterusan di lokasi tumpuan berjaya mengekang aktiviti jenayah dan mencegah perlakuan samseng jalanan.
Rejali menegaskan bahawa operasi ini adalah langkah proaktif untuk memastikan keselamatan awam berada pada tahap optimum.
Beliau turut memaklumkan bahawa IPD Betong komited mempergiat rondaan, pemeriksaan dan pemantauan bagi menurunkan kadar jenayah termasuk kecurian kenderaan, pecah rumah serta membanteras ancaman ‘mat rempit’ di daerah ini.
Oleh Adi Safarman