
BELAGA: Seramai 28 individu, termasuk tiga warga Indonesia, ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak di kawasan Sungai Asap dari kelmarin hingga semalam.
Operasi Cegah Khas itu dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia Bahagian Kapit.
Operasi turut memusnahkan dua lokasi dipercayai menjadi sarang pengedaran dadah dengan kerjasama ketua masyarakat.

Dalam usaha memperkukuh pemulihan klien, Cawangan Rawatan dan Pemulihan AADK Sarawak turut menjalankan lawatan ‘Home Visit’ di empat rumah panjang, bagi menilai perkembangan serta meningkatkan sokongan keluarga.

Program Libat Urus Komuniti di Dewan Rumah Panjang Kulit pula menarik penyertaan lebih 200 penduduk dan dirasmikan oleh Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah, bersama Pengarah AADK Sarawak, Abdul Hamediee Ibrahim.
AADK Sarawak komited untuk meneruskan usaha pencegahan dan pemulihan melalui pendekatan operasi berfokus dan penglibatan komuniti secara meluas.
Oleh Carolyne Utih