
NIAH: Enam mangsa daripada dua keluarga berjaya dipindahkan dalam satu operasi banjir yang dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah petang semalam.
Permindahan itu adalah susulan kenaikan paras air di Kampung Padang Sepupok dan Kampung Muhibah, di sini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak memaklumkan pihak bomba menerima panggilan dari Bilik Gerakan Bencana Daerah Subis pada 6.10 petang sebelum jentera sampai ke lokasi kira-kira tiga minit kemudian.
Komander Operasi PBK I (TBK I) Awang Azdwan Awang Sahari berkata cuaca dalam keadaan baik namun trend air menunjukkan peningkatan, menyebabkan pemindahan perlu dilakukan segera bagi keselamatan penduduk terbabit.

Di Kampung Muhibbah, satu keluarga yang terdiri daripada tiga mangsa — semuanya perempuan, termasuk dua kanak-kanak berusia lima tahun — dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Suai. Suami wanita tersebut tidak turut serta dalam pemindahan.
Sementara itu, di Kampung Padang Sepupok, satu keluarga lagi melibatkan tiga perempuan termasuk seorang warga emas turut dipindahkan ke PPS yang sama.
Operasi yang melibatkan lima anggota bersama sebuah jentera Kenderaan Pasukan Tindak Balas Awal (FRV) dan sebuah bot 40 kuasa kuda itu berjaya dikawal sepenuhnya pada 9.00 malam dan tamat 9.30 malam.
Tiada agensi lain terlibat semasa operasi berlangsung. PGO Sarawak merakamkan penghargaan atas tindakan pantas anggota yang memastikan keselamatan mangsa terjamin.
Oleh Adum Liu