KUCHING: Operasi Pengesanan Kes Aktif (ACD) kedua di negeri ini bermula semalam di Kampung Tabuan Lot di sini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi ACD itu meliputi 423 rumah di kawasan itu dengan kira-kira 2,100 orang.
“ACD diadakan di sini kerana seorang penduduk dari kampung ini telah meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.
“Terdapat satu kes Orang yang Sedang Disiasat (PUI) di sini juga. Pesakit kini ditempatkan di Hospital Umum Sarawak dan belum ditentukan dari kluster mana,” kata Uggah kepada wartawan selepas mengunjungi pusat pemeriksaan Covid-19 di Dewan Dato Sri Dr Wan Junaidi, Tabuan Lot di sini semalam.
Beliua menambah terdapat kebimbangan terhadap kemungkinan ada beberapa kes yang belum dapat dikesan di kawasan itu
“Oleh itu, kita melaksanakan ACD di sini hari ini. Pasukan kita akan pergi dari rumah ke rumah untuk menyiasat.
“Orang kampung akan disarankan untuk melakukan pemeriksaan di balai,” katanya lagi.
Uggah berkata ACD yang melibatkan 171 orang terdiri daripasa doktor dan kakitangan perubatan lain, polis, Jabatan Pertahanan Awam, majlis tempatan dan lain-lain adalah atas nasihat dan pengalaman Jabatan Kesihatan negeri dengan pengesanan dan rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa.
“Saya berharap penduduk kampung dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kerana ini dilakukan untuk kepentingan mereka sendiri.
“Bagi kami perang melawan Covid-19 masih berterusan. Kita semua harus bekerja keras,” katanya.
Mengenai operasi ACD pertama di Uni Garden dan Desa Ilmu di Kota Samarahan, beliau berkata operasi itu sangat berguna.
“Operasi yang bermula pada 28 April hingga 3 Mei lalu, membolehkan kami mengesan tiga kes positif. Sekiranya kami tidak melakukan ini, mereka yang dijangkiti tetapi asimptomatik akan bergerak untuk menyebarkan penyakit.
“Ini pasti akan menjadi masalah besar bagi mereka yang terjejas, keluarga mereka dan masyarakat lain,” katanya.
Uggah berkata, operasi pertama ini meliputi 5,300 rumah dan 15,583 orang telah diperiksa.
“885 orang yang lain telah tampil untuk memberikan sampel mereka,” ujar beliau.
Beliau berkata ACD dilakukan di sana berikutan pengesanan 20 kes positif dan dua kematian.
Mengenai isu lain, Uggah memberitahu lebih 3,000 individu telah dikuarantin di lebih 2,000 bilik di Kuching setakat ini.
Beliau menambah belum lagi menerima laporan lengkap mengenai individu yang dikuarantin tetapi mula mengamuk dan memusnahkan barang di bilik hotel baru-baru ini.