

PAKAN: Dua lelaki berumur 22 dan 33 tahun ditahan pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau selepas didapati positif pelbagai jenis dadah dalam dua tangkapan berasingan menerusi Op Tapis Khas di daerah ini pada semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun yang ditahan di pekarangan salah sebuah rumah panjang di sini.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek tersebut turut mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.
Tambahnya, pada hari sama, seorang lelaki berumur 33 tahun turut ditahan di sebuah premis, Jalan Engkamop selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek kedua positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan terdahulu di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras penyalahgunaan dadah di Daerah Julau khususnya di kawasan Pakan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Oleh Earl Anek