Op Tapis Khas: 21 ditahan, lebih 3.4kg dadah dirampas

Facebook
WhatsApp
SEBAHAGIAN dadah yang dirampas dalam Op Tapis Khas yang dijalankan IPD Kuching dari 25 hingga 27 Ogos lalu. Foto IPD Kuching

KUCHING: Seramai 21 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching selama tiga hari dari 25 hingga 27 Ogos lalu.

Dalam operasi khas bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar Kuching itu, polis turut merampas 3,413 gram ganja, 6.57 gram methamphetamine serta 55 mililiter cecair disyaki ganja, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,850.

Daripada jumlah tangkapan, seorang ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang mengikut Seksyen 39A(2), seorang mengikut Seksyen 39A(1), dua orang mengikut Seksyen 12(2) dan 16 orang lagi mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Kejayaan operasi berkenaan adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam membantu pihak polis membanteras kegiatan berkaitan dadah di kawasan Kuching.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan dadah yang merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut menegaskan komitmennya untuk terus memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di talian 017-592 9211.