
LIMBANG: Seorang buruh binaan berusia 51 tahun ditahan polis selepas didapati memiliki dadah jenis syabu di kawasan tapak pembinaan di Medamit dalam Op Tapis yang dijalankan semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, berkata suspek ditahan pada 5.00 petang dan hasil pemeriksaan menemui satu peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu seberat 0.50 gram.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan dipercayai mula terlibat dalam aktiviti penagihan sejak awal 2022,” katanya.
Pada operasi sama, seorang pembantu kedai berusia 32 tahun turut ditahan di kawasan tempat letak kereta Taman Tasik Bukit Mas, Jalan Kubu pada 5.30 petang selepas didapati positif dadah.
“Suspek kedua tidak mempunyai rekod lampau namun dipercayai mula terlibat dalam aktiviti dadah sejak awal tahun 2025. Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.