
KUCHING: Statistik kemalangan maut di Sarawak bagi tempoh awal tahun ini menunjukkan trend membimbangkan apabila sebanyak 49 kes direkodkan dari 1 Januari hingga semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, jumlah itu meningkat 17 kes berbanding 32 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
“Bermakna daripada 32 kes kepada 49 kes, jadi ini sangat membimbangkan”, katanya.
Menurut beliau, peningkatan tersebut mendorong pelaksanaan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula 15 hingga 20 Februari ini.
“Operasi ini dilancarkan serentak di seluruh negara dengan tujuan utama memperkukuh penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta memastikan pengguna lebih berhemah ketika memandu,” katanya selepas majlis pelancaran di pusat beli-belah di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 850 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak digerakkan sepanjang tempoh operasi tersebut.
Katanya, sebahagian besar kes kemalangan maut yang direkodkan berpunca daripada kecuaian dan kelalaian pemandu sendiri.
“Faktor manusia masih menjadi penyumbang utama. Justeru, kita menasihatkan orang ramai supaya mematuhi had laju dan tidak memandu dalam keadaan letih atau mengantuk,” ujarnya.
Tambah beliau, sebanyak 85 lokasi ‘titik panas’ dikenal pasti di seluruh negeri, khususnya di bandar utama seperti Miri, Kuching, Sibu dan Bintulu.
“Kawasan ‘titik panas’ ini dijangka mengalami kesesakan dan berpotensi berlaku kemalangan, namun ia bukan ‘titik hitam’. Setakat ini, Sarawak tidak mempunyai kawasan dikategorikan sebagai ‘titik hitam’,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang pulang ke kampung sempena cuti umum pada 17 dan 18 Februari depan supaya merancang perjalanan lebih awal berikutan jangkaan peningkatan trafik.
“Biar lambat asal selamat. Keselamatan diri dan keluarga lebih utama,” tegasnya.
Oleh Shikin Mahmud