
SARATOK: Operasi pengurangan populasi buaya di Batang Krian, Saratok menerusi Op Remove memasuki hari keempat hari ini dengan kejayaan menangkap seekor buaya sepanjang sembilan kaki, hasil maklumat daripada penduduk Rumah Panjang Klua.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, sekitar 5.30 petang tadi, penduduk memaklumkan bahawa salah satu kail umpan telah dimakan.
Pasukan operasi segera ke lokasi dan berjaya menangkap reptilia itu sebelum membawanya ke Pusat Operasi untuk tindakan selanjutnya.
Operasi hari ini melibatkan pelbagai agensi dengan anggota termasuk tiga anggota APM, lima anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua anggota bomba, dan tujuh anggota RELA.
Pada 1.30 petang, semua anggota bergerak ke pangkalan Sungai Batang Krian untuk meneruskan pemantauan dan pemasangan umpan di Sungai Awik dan Ulu Krian.



Op Remove memasuki hari keempat hari ini dengan kejayaan menangkap seekor buaya sepanjang sembilan kaki, hasil maklumat daripada penduduk Rumah Panjang Klua. Foto: APM Saratok
Pemantauan awal mendapati tiada umpan yang dimakan sehingga maklumat daripada penduduk Rumah Panjang Klua diterima.
Sepanjang operasi, pasukan turut melakukan pemantauan set kail di sepanjang Sungai Awik dan Ulu Krian hingga ke jambatan, memastikan keselamatan dan keberkesanan tugasan.
“Semua anggota operasi berada dalam keadaan selamat dan operasi hari ini ditamatkan selepas buaya berjaya ditangkap,” jelas Leftenan Nur Athirah.
Beliau menambah bahawa operasi akan disambung keesokan harinya bagi memastikan populasi buaya di kawasan itu dapat dikurangkan secara berkesan dan keselamatan penduduk terus terjamin.
Op Remove merupakan inisiatif bersepadu antara APM, PDRM, bomba, RELA serta komuniti tempatan bagi menangani isu keselamatan yang berpunca daripada kehadiran buaya di Sungai Batang Krian.
Penduduk tempatan menyambut baik usaha ini, yang dilihat dapat mengurangkan risiko serangan buaya terhadap manusia dan ternakan di kawasan sekitar.
Dengan kejayaan hari ini, pihak berkuasa menekankan kepentingan kerjasama penduduk dan pemantauan berterusan untuk memastikan operasi berjalan lancar dan risiko keselamatan diminimumkan.
Oleh Adi Safarman