
BINTANGOR: Sebanyak 10 saman telah dikeluarkan oleh pihak polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong semasa operasi Op Motosikal di kawasan Jalan KJD.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata operasi tersebut bermula 12.00 tengah malam hingga 3.00 pagi tadi.
“Operasi ini dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram, pengubahsuaian motosikal serta memastikan penunggang motosikal mematuhi undang-undang serta spesifikasi kenderaan yang ditetapkan.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 10 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
“Antaranya ialah tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, selain itu, sebuah motosikal turut disita atas kesalahan melibatkan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi.
“Pihak IPD Meradong menasihatkan semua penunggang motosikal agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
“Ibu bapa juga digesa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam aktiviti berisiko dan menyalahi undang-undang,” katanya.
Oleh Earl Anek