

BINTANGOR: Tiada kegiatan lumba haram direkodkan dalam Op Motosikal yang dijalankan di Jalan KJD dan Lebuh Raya Pan Borneo pada tengah malam dan awal pagi tadi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata operasi yang dijalankan bermula 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi tersebut melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Meradong dengan tumpuan khusus terhadap lokasi-lokasi yang sering dikaitkan dengan perlumbaan motosikal.
“Untuk makluman, operasi fokus lumba haram sempena hujung minggu di kawasan KJD dan Pan Borneo.
“Tiada aktiviti lumba haram dan diharap aktiviti sebegini tidak berlaku lagi di Daerah Meradong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tansli turut menekankan aspek pengubahsuaian motosikal serta pematuhan undang-undang jalan raya.
“Pihak IPD Meradong menasihatkan semua penunggang motosikal agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan mengikut spesifikasi.
“Ibu bapa juga digesa agar memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam aktiviti tidak sihat atau menyalahi undang-undang,” katanya.
Oleh Earl Anek