
KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melancarkan Op Lancar sempena sambutan Gawai Dayak bermula 30 Mei ini hingga 4 Jun depan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, berkata operasi selama enam hari itu bertujuan memastikan kelancaran dan kawalan aliran trafik terutama pada waktu puncak, di samping mengambil tindakan tegas terhadap pesalah trafik.
“JSPT sentiasa memberi keutamaan kepada penguatkuasaan undang-undang. Sepanjang tempoh operasi, kira-kira 350 pegawai dan anggota JSPT Kontinjen Sarawak akan ditempatkan di seluruh daerah bagi menyelaras lalu lintas serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau menjelaskan, operasi ini akan memberi fokus kepada jalan persekutuan, jalan negeri, dan jalan bandar, terutamanya di lokasi yang sering berlaku kesesakan.
Mancha turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan arahan pegawai bertugas.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan lalu lintas.
“Kami menyeru semua pengguna jalan raya untuk mengutamakan keselamatan diri dan orang tersayang,” ujarnya.
Mancha juga menasihatkan penduduk agar memaklumkan kepada pihak polis sekiranya mereka meninggalkan rumah sepanjang musim perayaan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman masing-masing.
Oleh Connie Chieng