KUCHING: Seramai tujuh individu termasuk tiga pengusaha dan empat penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi membongkar sindiket pengimportan ayam sejuk beku secara tidak sah di Kota Kinabalu, Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, operasi dikenali sebagai Op Chicks itu dijalankan pada 11 Ogos lalu selepas risikan dan pengumpulan maklumat mengenai kegiatan sindiket berkenaan.
Katanya, sindiket terbabit disyaki merasuah pegawai di sebuah pelabuhan di Kota Kinabalu bagi membolehkan ayam sejuk beku dari China dan Poland dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini telah membuat pengisytiharan tidak benar bagi ayam sejuk beku yang dibawa masuk dengan mengisytiharkan barangan dalam kontena sebagai sayur-sayuran.
“Barangan itu juga tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya pada sidang media di Kompleks Pejabat SPRM Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua tujuh individu yang ditahan telah dikenakan tahanan reman selama tiga hari bermula 12 Ogos lalu oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
Menurutnya, SPRM turut menyita 10 kontena yang mengandungi barangan bernilai kira-kira RM3.747 juta.
“Nilai ketirisan cukai yang dapat dikesan setakat ini ialah sebanyak RM1.012 juta dan nilai tersebut adalah berdasarkan barangan dalam 10 kontena yang disita.
“Selain itu, sebanyak tujuh telefon bimbit turut disita,” katanya.
Abd Halim berkata, SPRM kini dalam proses membekukan akaun syarikat yang terlibat dalam siasatan berkenaan.
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam sindiket tersebut.
“Pihak kami masih dalam usaha untuk mengesan individu-individu yang terlibat dalam sindiket ini,” katanya.
Beliau berkata, siasatan turut meneliti sebarang kesalahan lain yang berkemungkinan berlaku.
Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Oleh Shikin Mahmud





