Op Bersepadu IPD Bau periksa 56 kenderaan, 67 individu

Facebook
WhatsApp
SEKITAR operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau malam tadi.

BAU: Sebanyak 56 kenderaan dan 67 individu diperiksa dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dari 8.00 malam hingga awal pagi tadi.

Operasi membabitkan seramai 14 anggota polis dengan fokus utama rondaan, pemeriksaan kenderaan dan individu serta pemantauan keselamatan di beberapa lokasi strategik sekitar Daerah Bau.

Menurut kenyataan IPD Bau, antara lokasi yang terlibat ialah pekan Bau, Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Suba Buan, kawasan Singai, Siniawan dan Serikin.

OP Bersepadu Pencegahan Jenayah IPD Bau melibatkan rondaan, pemeriksaan kenderaan dan individu di beberapa lokasi strategik sekitar Daerah Bau.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak tiga keping saman POL 257 turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan.

“Selain pemeriksaan, pasukan operasi turut melaksanakan rondaan bagi mencegah kejadian kecurian kenderaan dan kabel telekomunikasi (Telco), selain memastikan tahap keselamatan di kawasan Siniawan dan Serikin sentiasa terkawal,” katanya dalam kenyataan.

Secara keseluruhannya, operasi berkenaan berjalan lancar dan teratur tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.

Polis Daerah Bau berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha pencegahan jenayah dan rondaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah berkenaan sentiasa terpelihara.