
SARATOK: Polis Daerah Saratok melaksanakan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah sempena ambang Tahun Baharu 2026 bagi memastikan keselamatan awam serta mengekang jenayah dan kesalahan lalu lintas di kawasan pentadbirannya.
Operasi yang dijalankan malam kelmarin bermula 9.00 malam hingga 2.00 pagi itu diketuai Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie dengan kekuatan keseluruhan seramai 23 pegawai dan anggota.
Menurut DSP Mathew Manggie, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada rondaan dan pemeriksaan mengejut di kawasan pasar, kampung dan taman perumahan sekitar Kabong, Saratok dan Roban yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan orang ramai.

“Operasi ini bertujuan menurunkan kes jenayah indeks khususnya di kawasan titik panas, mempamerkan kehadiran polis secara menyeluruh, selain mengesan individu dikehendaki serta mengurangkan kesalahan lalu lintas, terutamanya melibatkan penunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi tersebut, polis telah memeriksa seramai 25 individu terdiri daripada 15 lelaki dan 10 perempuan, selain memeriksa 30 kenderaan termasuk 18 motosikal, tujuh kereta serta lima van dan pacuan empat roda.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 12 keping saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” jelasnya.

DSP Mathew menegaskan, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan awal serta bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, khususnya ketika musim perayaan dan sambutan utama.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah demi keselamatan bersama.
Oleh Adi Safarman