
KUCHING: Ombudsman Sarawak mencipta sejarah apabila diterima secara rasmi dan sebulat suara sebagai Ahli Bersekutu pertama Forum Ombudsman Asia Tenggara (SEAOF) pada Mesyuarat Ahli Penuh SEAOF yang berlangsung di Conrad Manila, Manila, Filipina, semalam.
SEAOF yang ditubuhkan pada 2019 berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara institusi ombudsman di rantau Asia Tenggara dalam meningkatkan keberkesanan institusi, berkongsi amalan terbaik serta menangani cabaran bersama berkaitan pentadbiran awam dan keadilan pentadbiran.
Keanggotaan penuh SEAOF ketika ini terdiri daripada institusi ombudsman dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Timor-Leste.

Penerimaan Ombudsman Sarawak sebagai Ahli Bersekutu pertama SEAOF mencerminkan keyakinan institusi anggota forum itu terhadap komitmennya dalam memperkasa keadilan pentadbiran, akauntabiliti dan kecemerlangan perkhidmatan awam.
Majlis penerimaan dimulakan dengan pembentangan oleh Dato Sri Abdul Ghafur Shariff yang menghuraikan mandat, hala tuju strategik serta aspirasi institusi itu dalam memperkukuh kerjasama serantau.
Sijil penerimaan kemudian disampaikan oleh Jose M. Balmeo Jr., sekali gus menandakan kemasukan rasmi Ombudsman Sarawak ke dalam komuniti SEAOF.
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Datuk Dr. Juanda Jaya, yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus baik, integriti, akauntabiliti, ketelusan dan kerjasama antarabangsa.
Penyertaan Ombudsman Sarawak dalam SEAOF membuka lembaran baharu dalam pembangunan institusi serta penglibatan di peringkat antarabangsa.
Melalui kerjasama tersebut, Ombudsman Sarawak berpeluang memperluas pertukaran pengalaman, mempelajari amalan terbaik daripada institusi ombudsman yang lebih berpengalaman serta menyumbang kepada perbincangan serantau mengenai cabaran tadbir urus yang semakin berkembang.
Kerjasama itu juga dijangka memperkukuh usaha bersama dalam mempromosikan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik demi manfaat masyarakat di seluruh rantau Asia Tenggara.