TIGA isu ini antara yang menarik perhatian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Isnin lalu hingga 29 November ini.
Ombudsman Sarawak 2023 ada ‘gigi’
MENGIKUT Wikipedia, Ombudsman berasal daripada perkataan Sweden yang bermaksud ‘rungutan’ atau ‘wakil atau ejen rakyat’. Ia juga dirujuk dalam Kamus Oxford sebagai ‘pembela rakyat’ dan seorang yang dilantik untuk melindungi rakyat daripada penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa pentadbiran oleh penguasa.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu, meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Sarawak 2023, yang akan membenarkan orang ramai melaporkan salah tadbiran oleh agensi perkhidmatan awam negeri.
Dengan itu, Sarawak muncul negeri pertama mempunyai Ordinan Ombudsman, mengambil model institusi ombudsman Sweden yang diubah suai bagi memenuhi keperluan sistem, budaya dan amalan tempatan dalam pentadbiran di Bumi Kenyalang.
Ombudsman Sweden, antara yang tertua di dunia iaitu sejak 1809 dan menjadi tempat rujukan terbaik.
Di peringkat Persekutuan juga sudah ada rancangan untuk mewujudkan Ombudsman Malaysia berpandukan model Ombudsman seperti United Kingdom dan New Zealand, tetapi setakat ini, rang undang-undang mengenainya belum dibentang di Dewan Rakyat.
Yang menarik bagi Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 ialah laporan aktiviti ombudsman dan siasatan akan disiarkan sepenuhnya di DUN termasuk sebarang penemuan, syor dan pendapat ombudsman.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, satu Jawatankuasa Pilihan Khas boleh dilantik atas usul yang dibuat di bawah peraturan mesyuarat untuk menimbangkan sebarang perkara yang berbangkit daripada laporan itu.
Namun, tidak seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), laporan yang dibuat oleh Ombudsman mempunyai kuasa undang-undang.
Tujuan utama PAC di peringkat persekutuan ialah memeriksa dan memantau urusan kewangan negara dan memastikan ketelusan pengurusan dan pentadbiran kewangan negara ditadbir secara baik dan sempurna.
Ombudsman Sarawak 2023 adalah untuk memberi Ombudsman, antara lain, kuasa untuk menerima, menyiasat, dan menyelesaikan aduan termasuk menolak sebarang aduan yang tidak berasas dan remeh serta mengesyorkan tindakan pembetulan atau pencegahan yang perlu diambil oleh agensi perkhidmatan awam negeri.
Malah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri juga tidak ketinggalan, turut tertakluk kepada siasatan serta penelitian Ombudsman.
Turut dicadangkan dalam ordinan itu ialah kesalahan seperti sengaja memberi maklumat palsu, gagal hadir sebaik menerima notis dan dengan sengaja menghalang, atau menentang ombudsman, atau mana-mana orang dalam melaksanakan kuasa mereka.
Hukuman yang boleh dikenakan jika sabit kesalahan ialah denda antara RM10,000 hingga RM50,000 dan penjara enam bulan hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Ini bermakna, aturan pelaksanaan Ombudsman Sarawak 2023 ada ‘gigi’ berbanding PAC di Dewan Rakyat.
Isu buaya dibangkit dalam DUN
Dalam kolum ini yang disiarkan 9 November lalu, penulis membangkitkan isu buaya dengan tajuk ‘Apa perlu ‘lindungi’ buaya banyak-banyak? Ini berikutan saban tahun, ada sahaja mangsa buaya hingga mencetuskan konflik antara buaya dengan manusia yang semakin meningkat.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh mendedahkan populasi buaya di Sarawak kini meningkat hampir sekali ganda berbanding sembilan tahun lepas.
Katanya, berdasarkan bancian pemantauan, Sarawak kini mempunyai sekitar 25,000 ekor buaya berbanding 13,500 ekor pada 2014. Antara kawasan tumpuan bagi buaya ini adalah di Sungai Bako, Batang Lupar, Batang Sadong dan juga di Sibuti.
Berikutan itu kata beliau, kementeriannya bercadang untuk mengadakan lawatan ke Afrika Selatan serta Australia bagi mempelajari cara menangani masalah populasi buaya yang tinggi.
“Sebagai contoh, kita mahu belajar dari Kruger National Park di Afrika Selatan dalam menangani buaya manakala di Australia, mereka telah mengeluarkan produk-produk berasaskan kulit buaya seperti tali pinggang, kasut dan beg,” katanya pada sesi soal-jawab.
Len Talif juga berkata aplikasi pemantauan kehadiran buaya secara ‘real time’ atau data masa nyata yang dibangunkan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) dijangka dilancarkan tahun depan. Menerusi aplikasi itu, populasi buaya dapat dipantau secara berterusan dan kawasan panas konflik manusia dan buaya dapat dikenal pasti.
Namun, kita masih mengharapkan tindakan lebih drastik untuk mengurangkan populasi buaya kerana penduduk kampung kini bimbang untuk menjala udang dan memancing dalam sungai berikutan kehadiran reptilia ganas itu.
Untungnya pelajar IPT
TAHUN depan, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dalam kalangan anak Sarawak yang kurang berkemampuan akan mendapat pemberian baucer buku RM500 seorang. Mereka adalah daripada keluarga dengan pendapatan isi rumah per kapita RM1,500 sebulan dan ke bawah. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 35,000 pelajar universiti dan kolej.
Bantuan komputer riba percuma pula dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar.
Perkara ini diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin lalu.
Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM32.5 juta bagi memperkenalkan dua inisiatif di bawah belanjawan negeri 2024 untuk membantu pelajar IPT awam dan swasta yang kurang berkemampuan bagi tujuan itu.
“Geran tambahan RM5 juta untuk Program Tuisyen Percuma. Dengan jumlah tambahan ini, Program Tuisyen Percuma akan menerima tambahan peruntukan daripada RM10 juta kepada RM15 juta. Kumpulan sasar akan dilanjutkan meliputi Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5, sekali gus memperluaskan bilangan pelajar yang layak menerima bantuan tersebut.
“Dianggarkan seramai 58,520 pelajar terutamanya daripada isi rumah B40 dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ini pada 2024,” katanya.
Di samping itu, katanya, sebanyak RM2 juta geran tambahan diperuntukkan dalam Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah, bertujuan memanfaatkan tambahan 10,000 pelajar, menjadikan jumlah pelajar yang dibantu pada 2024 kepada 30,000.
“Peningkatan ini menjadikan jumlah peruntukan Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah kepada RM6 juta pada 2024,” katanya.
Inilah berita baik untuk pelajar IPT awam dan swasta bagi anak Sarawak sama ada belajar di Semenanjung, Sabah atau di negeri sendiri.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.