TANJUNG MANIS: Ombak besar setinggi 3.5 meter menyebabkan seorang kru terjatuh ke laut dari tongkang Linau 27 di perairan Rejang dekat sini sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menjelaskan disebabkan ombak besar, sebuah pondok yang berada di atas tongkang tersebut terjatuh ke laut bersama mangsa dikenali sebagai Mustapa Abdullah @ Moses anak Mleng berumur 64 tahun.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak anak Numpang berkata, seorang lagi kru tongkang berkenaan turut jatuh ke laut setelah dihempas ombak.
“Mangsa cuba diselamatkan oleh rakannya yang turut terjatuh tetapi gagal dan rakannya sempat berpaut di atas pondok yang jatuh dan terapung sebelum diselamatkan oleh bot tunda Danum 126.
“Pusat Kawalan Operasi Maritim (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada pukul 1.45 petang dengan mengatur gerak Bot Pengawal 22 ke lokasi kejadian berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pengadu.
“Lokasi terakhir mangsa jatuh laut adalah di kedudukan tujuh batu nautika barat Kuala Rejang.
“Op CARILAMAT diteruskan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tanjung Manis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tanjung Manis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tanjung Manis.
“Susulan kejadian itu, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata operasi itu ditangguhkan pada jam 6.30 petang tadi kerana keadaan laut yang bergelora dan hari semakin gelap yang menyukarkan misi pencarian.
Gilbert memaklumkan Op CARILAMAT berkenaan akan bersambung semula pada pukul 7.00 pagi esok dengan jarak pencarian akan diperluaskan.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh salurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis melalui talian 011-35728765 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.