
BAU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang selepas keluar menuju ke kebun di Kampung Opar di sini semalam berjaya ditemui dalam keadaan selamat pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Lehem Diok, 62, ditemui di tepi jalan kawasan Padang Sawit SELCRA Bau kira-kira 11 kilometer dari rumahnya sekitar 9.35 pagi hasil operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh pasukan keselamatan serta penduduk kampung.
Terdahulu, mangsa yang merupakan OKU mental dilaporkan keluar dari rumah sekitar 8.30 pagi untuk menuju ke kebun di kawasan Tiribuh sebelum kehilangan jejak.
Susulan laporan diterima pada 8.53 malam semalam, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau segera digerakkan ke lokasi dan tiba pada 9.07 malam bagi memulakan operasi pencarian.
Operasi SAR hari pertama bermula sekitar 8.30 pagi tadi dengan tumpuan diberikan di lokasi terakhir mangsa dilihat.
Mangsa akhirnya berjaya ditemui di tepi jalan berhampiran kawasan ladang sawit sebelum dibawa ke Hospital Bau pada 10.00 pagi untuk pemeriksaan kesihatan lanjut.
Operasi SAR yang melibatkan seramai lapan anggota BBP Bau diketuai Ketua Balai, Zainudin Ngatdemon itu turut dibantu oleh agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta kira-kira 20 penduduk kampung.
Operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya pada 10.30 pagi selepas mangsa berjaya ditemui dengan selamat.
Oleh Norman B