Meskipun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) namun kekurangan itu tidak menjadi penghalang kepada Chin Phin Kian untuk memerah keringat mencari rezeki dengan menanam sayur-sayuran.
Chin, 57, mula menanam sayur di tanah kosong di hadapan rumahnya setelah dia hilang punca pendapatan kira-kira 17 tahun lalu selepas kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.
“Kedua-dua kaki saya terpaksa dipotong setelah disahkan menghidap vaskular yang menyebabkan jangkitan virus,” kata Chin.
Dalam tempoh dua tahun selepas pembedahan, dia tidak dapat melakukan apa-apa kerana belum sembuh sepenuhnya.
Kata Chin, dia memang merasa tertekan lebih-lebih lagiketika itu lima orang anaknya masih sekolah. Anak yang sulung masih belajar di tingkatan lima dan yang bongsu masih tadika.
Sebelum ini, Chin bekerja sebagai pemandu bas sekolah, manakala isterinya, Lee Chu Fong, 56, bekerja sebagai pembersih rumah.
“Selepas sembuh sepenuhnya, saya mula menanam sayur-sayuran untuk menyara keluarga dan kebetulan di hadapan rumah ada tanah kosong yang belum diusahakan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Taman Delight 1B di sini.
Cili, ubi keledek, sawi dan kucai antara sayur yang ditanam oleh Chin.
Menurut Chin, hasil tanamannya akan dibeli secara borong oleh pembeli yang datang ke rumah.
“Dulu saya mampu meraih kira-kira RM500 sebulan tetapi kini hanya sekitar RM300 selepas sebahagian kawasan tanah itu dibangunkan sebagai laluan riadah,” katanya.
“Apa-apa pun , saya bersyukur kerana pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) meluluskan permohonan saya untuk membenarkan saya menanam sayur di tanah sekarang ini yang sepatutnya dijadikan tempat untuk riadah,” katanya.
Sementara itu, kelima-lima anaknya yang berusia antara 22 hingga 33 tahun kini sudah menamatkan pengajian di institusi pengajian.