
PARIS: Kebakaran hutan dahsyat dan gelombang haba melampau sepanjang Ogos, bulan ketiga paling panas pernah direkodkan di dunia menyerlahkan keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim serta bersedia menghadapi akibatnya yang boleh membawa maut, menurut agensi pemantauan pemanasan global Eropah.
Eropah Barat Daya mengalami gelombang haba musim panas ketiga, kebakaran memusnahkan kawasan di Sepanyol dan Portugal, manakala banyak bahagian Asia mencatat suhu melebihi purata sepanjang bulan yang hampir mencecah rekod tertinggi.
Lautan dunia yang memainkan peranan penting dalam mengawal iklim Bumi dengan menyerap lebihan haba dari atmosfera turut mencatat suhu hampir setinggi rekod bagi bulan tersebut.
Lautan yang lebih panas lazimnya dikaitkan dengan kejadian cuaca ekstrem yang semakin teruk.
“Dengan lautan dunia juga kekal luar biasa panas, peristiwa ini menekankan bukan sahaja keperluan mendesak untuk mengurangkan pelepasan karbon, tetapi juga keperluan kritikal untuk menyesuaikan diri dengan iklim ekstrem yang lebih kerap dan intens,” kata Ketua Strategi Iklim di Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (EU), Samantha Burgess.
Suhu global terus meningkat akibat pelepasan gas rumah hijau oleh manusia, terutamanya daripada pembakaran bahan api fosil secara besar-besaran sejak era Revolusi Perindustrian.
Copernicus memperoleh datanya melalui berbilion bacaan satelit dan pemerhatian cuaca, di darat mahupun di laut, dengan rekod data yang bermula sejak 1940.
Purata suhu global bagi Ogos ialah 1.29 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras pra-industri hanya sedikit lebih rendah daripada rekod tertinggi yang dicatatkan pada 2023 dan menyamai rekod 2024.
Walaupun kenaikan itu kelihatan kecil, para saintis memberi amaran bahawa ia sudah cukup untuk mengganggu kestabilan iklim global serta meningkatkan kekerapan dan intensiti bencana seperti ribut, banjir dan kebakaran.
Dalam buletin bulanannya, Copernicus melaporkan bahawa Eropah Barat mencatat suhu melebihi purata yang paling ketara, dengan barat daya Perancis dan Semenanjung Iberia paling terjejas.
Di Sepanyol, gelombang haba selama 16 hari mengakibatkan lebih 1,100 kematian, menurut Institut Kesihatan Carlos III. Kebakaran hutan di Sepanyol dan Portugal turut memaksa ribuan penduduk berpindah.
Minggu lalu, para saintis menyatakan bahawa perubahan iklim yang didorong oleh manusia menjadikan keadaan panas, kering dan berangin yang memburukkan kebakaran 40 kali lebih berkemungkinan berlaku.
Di luar Eropah, suhu melebihi purata turut dicatatkan di Siberia, beberapa bahagian Antartika, China, Korea, Jepun dan Timur Tengah.
Suhu lautan yang memecah rekod turut direkodkan di Atlantik Utara, terutamanya di barat Perancis dan United Kingdom.
Di kawasan Mediterranean, keadaannya lebih bercampur dan kurang ekstrem berbanding 2024.
Sementara itu, UK, Jepun dan Korea Selatan masing-masing melaporkan musim panas paling panas sejak negara-negara tersebut mula menyimpan rekod, menurut agensi cuaca mereka awal bulan ini. – AFP