
Odegaard meraikan jaringan bersama rakan sepasukan
SINGAPURA: Sepakan penalti Martin Odegaard pada minit ke-84 memastikan kemenangan dramatik Arsenal 3-2 ke atas Newcastle United dalam aksi pramusim di Stadium Nasional Singapura, malam tadi.
Lebih 38,700 penyokong menyaksikan pertembungan dua kelab Liga Perdana Inggeris itu, yang menyaksikan Newcastle bermula garang apabila pemain baharu mereka, Anthony Elanga, meledak gol seawal minit keenam selepas menyambut hantaran Sandro Tonali.
Bagaimanapun, Arsenal tidak panik dan berjaya mengatur semula permainan.
Mikel Merino menyamakan kedudukan pada minit ke-33 hasil satu gerakan cantik dimulakan Kai Havertz.
Dua minit kemudian, The Gunners berada di depan apabila Alex Murphy tertampan bola ke gawang sendiri, sekali gus memberi kelebihan buat skuad kendalian Mikel Arteta.
Babak kedua menyaksikan Arsenal hampir menambah jaringan menerusi Bukayo Saka, namun percubaannya dinafikan oleh penjaga gol Newcastle, Nick Pope, pada minit ke-57.
Namun, rentak Arsenal terganggu seketika apabila pemain gantian, Jacob Murphy, menyamakan kedudukan buat Newcastle seminit selepas itu hasil rembatan dari luar kotak penalti yang menewaskan David Raya.
Ketika perlawanan dijangka berakhir seri, pemain muda berusia 15 tahun, Max Dowman, mencuri tumpuan apabila larian derasnya ke dalam kotak penalti dikasari Joelinton, sekali gus menghadiahkan penalti kepada Arsenal.
Odegaard tidak mensia-siakan peluang apabila tenang menyempurnakan sepakan dan memberi kemenangan kedua berturut-turut buat Arsenal selepas menewaskan AC Milan 1-0 sebelum ini. – AFP