SUNGAI PETANI: Kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) merupakan penyakit mental yang boleh memudaratkan diri penghidap jika tidak ditangani dengan cepat melalui kaedah rawatan awal, kata pakar.
Pakar psikiatri Hospital Pantai Sungai Petani Dr Mohammad Farris Iman Leong Abdullah berkata OCD mampu mengganggu kehidupan seharian penghidap sehingga ada yang tidak dapat bekerja atau berkawan, malah bagi kes yang teruk boleh menyebabkan penghidap mengalami gangguan psikotik seperti halusinasi.
“Ada sebilangan kecil penghidap OCD yang mempunyai simptom ke arah kecelaruan psikotik seperti merasakan badan kotor sehingga nampak bakteria dan virus di tangan,” katanya ketika ditemui Bernama.
Mengulas lanjut, Dr Mohammad Farris yang juga pensyarah perubatan dan pakar psikiatri Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia berkata ada lima jenis OCD, namun yang biasa ditemui dalam kalangan pesakit ialah contamination dan phatological doubt.
Contamination merujuk kepada individu yang sentiasa berfikiran bahawa diri dan persekitarannya kotor, manakala phatological doubt pula pesakit yang sentiasa dalam keadaan waswas, jelasnya.
Antara kesan yang dialami ialah penghidap mengulangi perbuatannya berkali-kali seperti mencuci tangan berkali-kali dan mandi dalam tempoh yang lama, katanya.
“Saya pernah ada pesakit wanita yang berada dalam bilik air selama enam jam mandi, gara-gara memikirkan dirinya kotor dan perlu mandi hingga bersih. Sikap waswas juga begitu, iaitu pesakit mengulangi tindakan banyak kali seperti memeriksa pintu rumah, dapur dan suis seterika kerana mereka waswas sama ada sudah berkunci atau suis ditutup,” katanya.
Menurutnya terdapat penghidap OCD yang turut mengalami masalah mental lain seperti kemurungan dan mereka berisiko tinggi untuk bertindak di luar kawalan seperti membunuh diri atau mencederakan orang lain.
“Jadi, jika seseorang individu itu ada simptom OCD, jangan malu untuk datang berjumpa pakar,” katanya, menambah OCD boleh dirawat melalui ubat-ubatan dan psikoterapi.
Orang ramai juga katanya perlu mengubah sikap melabelkan seseorang individu itu gila sekiranya berjumpa dengan pakar psikiatri kerana tidak semua penyakit mental dikategorikan “tidak waras”.
“Hanya satu penyakit mental yang dikategorikan sebagai ‘tidak waras’ iaitu skizofrenia. Orang ramai perlu tahu kepentingan mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami simptom masalah kesihatan mental,” katanya. -Bernama