Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • ‘Obsesi’ global terhadap matcha punca ladang teh di Jepun kering
  • RENCANA

‘Obsesi’ global terhadap matcha punca ladang teh di Jepun kering

Utusan Sarawak 24 hours ago
GAMBAR ini diambil pada 31 Mei 2025 menunjukkan seorang kakitangan Milia Matcha sedang menyediakan minuman matcha di Tokyo. Foto AFP

LOS ANGELES: Di sebuah bar matcha yang minimalis di Los Angeles, teh Jepun dalam bentuk serbuk disediakan dengan penuh ketelitian, meskipun berlaku kekurangan bekalan di peringkat global yang didorong oleh populariti minuman hijau terang itu di media sosial.

Daripada 25 jenis matcha yang terdapat dalam menu di Kettl Tea, yang dibuka di Hollywood Boulevard tahun ini, hanya empat masih mempunyai stok, menurut pengasas kedai itu, Zach Mangan, kepada AFP.

PEMILIK ladang teh, Masahiro Okutomi, sedang bergambar di ladang tehnya selepas temubual dengan AFP di Sayama. Foto AFP

“Salah satu cabaran yang kami hadapi ialah memberitahu pelanggan bahawa, malangnya, kami tidak mempunyai apa yang mereka inginkan,” katanya.

Dengan aroma rumput yang kuat, warna yang pekat, dan kesan penyegar yang dimilikinya, populariti matcha “telah meningkat secara mendadak sejak sedekad lalu, namun jauh lebih ketara dalam dua hingga tiga tahun kebelakangan ini,” jelas lelaki berusia 40 tahun itu.

Kini, ia menjadi “penanda budaya di dunia Barat” — boleh ditemui di mana-mana, daripada papan perisa aiskrim hinggalah ke Starbucks.

Perkembangan ini telah menyebabkan pasaran matcha hampir berganda dalam tempoh setahun, kata Mangan.

“Tak kira apa yang kami cuba, memang tiada lagi yang boleh dibeli.”

PERMINTAAN TERLALU TINGGI

Beribu-ribu kilometer jauhnya di Sayama, di barat laut Tokyo, Masahiro Okutomi — generasi ke-15 yang mengendalikan perniagaan teh keluarganya — kini berdepan permintaan yang terlalu tinggi.

“Saya terpaksa meletakkan makluman di laman web kami bahawa kami tidak lagi menerima tempahan matcha,” katanya.

MENUNJUKKAN beg-beg teh di sebuah kilang pemprosesan teh di Sayama. Foto AFP

Penghasilan serbuk matcha merupakan satu proses yang intensif: daun teh yang dikenali sebagai tencha akan dilindungi daripada cahaya matahari selama beberapa minggu sebelum dituai, bagi memekatkan rasa dan kandungan nutrisinya.

Daun-daun tersebut kemudian dibersihkan dengan teliti secara manual untuk membuang urat daun, dikeringkan, dan dikisar halus menggunakan mesin khas.

USAHA JANGKA PANJANG

DAUN teh yang belum diproses di sebuah kilang pemprosesan teh di Sayama. Foto AFP

“Penghasilan matcha yang betul memerlukan latihan bertahun-tahun,” kata Okutomi. “Ia merupakan satu usaha jangka panjang yang menuntut peralatan, tenaga kerja dan pelaburan.”

“Saya gembira kerana dunia mula memberi perhatian terhadap matcha kami… tetapi dalam jangka masa pendek, ia hampir menjadi satu ancaman — kami benar-benar tidak mampu memenuhi permintaan,” katanya.

Ledakan populariti matcha ini didorong oleh pengaruh dalam talian seperti Andie Ella, yang mempunyai lebih daripada 600,000 pelanggan di YouTube dan telah melancarkan jenama produk matchanya sendiri.

PENGURUS kedai teh Jugetsudo, Shigehito Nishikida, sedang menyediakan semangkuk matcha di kedainya yang terletak di kawasan Tsukiji, Tokyo. Foto AFP

Di kedai pop-up berwarna merah jambu pastel yang dibukanya di Daerah Harajuku yang bergaya di Tokyo, puluhan peminat teruja menunggu untuk bergambar bersama wanita Perancis berusia 23 tahun itu atau membeli matcha perisa strawberi dan coklat putih yang dijualnya dalam tin.

“Matcha sangat menarik dari segi visual,” kata Ella kepada AFP.

Setakat ini, jenama matcha beliau, yang dihasilkan di kawasan luar bandar Mie, Jepun, telah menjual sebanyak 133,000 tin. Dilancarkan pada November 2023, jenama itu kini mempunyai lapan orang pekerja.

“Permintaan terus meningkat,” katanya.

Pada 2024, matcha menyumbang lebih separuh daripada 8,798 tan teh hijau yang dieksport dari Jepun, menurut data kementerian pertanian — dua kali ganda berbanding sedekad lalu.

Kedai teh Jugetsudo di Tokyo, yang terletak di kawasan bekas pasar ikan yang kini menjadi tumpuan pelancong di Tsukiji, sedang berusaha mengawal tahap stok berikutan permintaan yang semakin meningkat.

“Kami tidak mengenakan had pembelian secara ketat, tetapi kadangkala kami menolak untuk menjual dalam kuantiti besar kepada pelanggan yang disyaki menjual semula,” kata pengurus kedai, Shigehito Nishikida. – AFP

Continue Reading

Previous: Kemiskinan diundang jika hidup disalah pandang
Next: Aktiviti mencari katak mula dapat sambutan di hutan Borneo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.