Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Obesiti ganggu emosi, jejas kesejahteraan mental kanak-kanak
  • KESIHATAN

Obesiti ganggu emosi, jejas kesejahteraan mental kanak-kanak

Utusan Sarawak 1 day ago
PENJUALAN minuman manis, makanan ringan dan makanan segera yang semakin berleluasa, termasuk di luar pagar sekolah, kian membimbangkan ibu bapa yang menganggapnya sebagai ancaman serius terhadap kesihatan anak-anak mereka. Foto BERNAMA

Laporan empat bahagian ini mengupas permasalahan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini meliputi punca, kesan dan penyelesaian bagi menanganinya. Artikel ini yang ketiga.

KUALA LUMPUR:  “Nak baki 30 sen atau gula-gula?” tanya seorang wanita yang menjual ais krim buatan sendiri berharga 70 sen sebatang kepada seorang murid lelaki. 

“Nak gula-gula,” jawab kanak-kanak itu dan berlalu pergi selepas mendapat ais krim serta gula-gula.  

Bernama baru-baru ini menjalankan tinjauan di beberapa buah sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bagi melihat sendiri dakwaan penjualan makanan tidak sihat kepada murid-murid sekolah.

Amat mengejutkan kerana bukan setakat gula-gula, makanan ringan dan makanan segera seperti sosej, nuget serta ais krim, bahkan air berkarbonat pelbagai perisa dan warna turut dijual di luar pintu pagar sekolah.

Kumpulan penjaja itulah yang dituju murid-murid sebaik keluar dari pagar sekolah apabila tamat sesi persekolahan, berebut-rebut membeli makanan dan minuman yang mereka inginkan – senario yang dipercayai berlaku saban hari.

PROFESOR Pediatrik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) merangkap Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan UM Specialist Centre (UMSC), Dr Muhammad Yazid Jalaludin, ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata, obesiti kini diiktiraf oleh banyak badan antarabangsa sebagai sejenis penyakit. Menurut beliau, obesiti bukan sekadar melibatkan saiz badan atau indeks jisim badan (BMI) yang melebihi paras ideal, tetapi turut membawa bersama risiko pelbagai masalah kesihatan kronik, khususnya penyakit tidak berjangkit (NCD) yang boleh mengancam nyawa. Foto BERNAMA

Tinjauan di sebuah sekolah rendah turut mendapati ada kanak-kanak yang masih berseragam sekolah, segera membantu bapanya menjual air berkarbonat bersama-sama dengan seorang lagi rakan, sebaik melepasi pintu pagar.

Dalam pelbagai warna dan perisa, dicampur pula dengan ais ketika cuaca panas membahang, sukar untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menepis godaan minuman yang turut dipanggil ‘air gas’ itu.

Namun, di sebalik keenakan  rasa minuman yang berharga RM1 secawan itu, ada ‘kos tersembunyi’ yang perlu ‘dibayar’ oleh kanak-kanak terbabit di kemudian hari. 

MINUM MANIS SETIAP HARI

Memetik kenyataan media Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia pada Mei 2019, pengambilan minuman bergula dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat secara dramatik dalam tempoh 15 tahun sebelumnya, seiring dengan peningkatan pendapatan.

Kira-kira 36 peratus pelajar mengambil minuman bergula sekurang-kurangnya sekali sehari dengan pengambilan gula harian purata bagi remaja meningkat daripada tujuh sudu teh pada 2012 kepada 10 sudu teh pada 2017 – jauh lebih tinggi berbanding had disarankan untuk orang dewasa. Secara purata, rakyat Malaysia mengambil sekitar tiga kilogram gula setahun dalam bentuk minuman bergula.

Menurut kenyataan itu lagi, pengenaan cukai ke atas minuman bergula berjaya mengurangkan penggunaan bahan tersebut dan menambah baik tahap kesihatan.

Contohnya di Filipina, cukai ke atas minuman bergula mengurangkan pengambilan minuman sedemikian sebanyak 8.7 peratus dan kajian mendapati langkah tersebut dapat mencegah 24,000 kematian berkaitan diabetes, strok dan penyakit jantung.

Sementara itu, Malaysia mengenakan duti eksais terhadap minuman bergula yang diperkenalkan melalui Belanjawan 2019 pada kadar 40 sen bagi setiap liter, dan dinaikkan sebanyak 10 sen kepada 50 sen melalui Belanjawan 2024.

Pada tahun lepas, kenaikan sebanyak 40 sen diumumkan melalui Belanjawan 2025, menjadikan keseluruhan duti eksais 90 sen seliter dikenakan terhadap tiga kategori minuman bergula sedia diminum yang dikilangkan dalam negara atau diimport.  

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengenaan cukai terhadap minuman bergula menunjukkan pengurangan pengambilannya dalam kalangan remaja, daripada 36.9 peratus (NHMS 2017) kepada 16.4 peratus (Kajian Penilaian Impak dan Keberkesanan Pengenaan Cukai Terhadap Minuman Manis Bergula Di Malaysia, 2022).

“Golongan muda dan berpendapatan rendah (B40) yang merupakan pengguna tertinggi dan paling banyak berbelanja untuk minuman manis telah menerima impak positif daripada pelaksanaan cukai ini,” kata kementerian itu kepada Bernama baru-baru ini. 

PENJUALAN minuman manis, makanan ringan dan makanan segera yang semakin berleluasa, termasuk di luar pintu pagar sekolah, disifatkan oleh ibu bapa sebagai satu “ancaman” serius terhadap kesihatan anak-anak mereka. Foto BERNAMA

PATUH GARIS PANDUAN?

Namun begitu, minuman bergula bukanlah satu-satunya kebimbangan.

Tabiat pemakanan tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak terus menjadi polemik masyarakat dengan ketersediaan pelbagai makanan segera dan snek, bukan sahaja di pasaran bahkan di luar pagar sekolah.

Walaupun terdapat peraturan yang ditetapkan, para penjaja masih terus beroperasi berhampiran kawasan sekolah, sekali gus memberikan akses mudah kepada kanak-kanak terhadap makanan berkalori tinggi dan rendah nutrien, yang sering kali tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. Tetapi, adakah penjaja-penjaja ini sebenarnya dibenarkan berniaga di luar kawasan sekolah?

Memetik Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan Dan Minuman Di Luar Pagar Sekolah Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) (Edisi 2021), Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit Bahagian Kawalan Penyakit, KKM, secara dasarnya penjualan makanan dan minuman dalam lingkungan 40 meter dari pagar sekeliling sekolah adalah dilarang bagi semua premis makanan termasuk penjaja statik, penjaja beredar dan penjaja sementara.

Walau bagaimanapun, penjaja statik atau peniaga gerai sedia ada berlesen dalam lingkungan 40 meter dari pagar sekeliling sekolah, dibenarkan menjual makanan dan minuman tetapi perlu mematuhi senarai makanan dan minuman yang dilarang dijual. 

Menurut pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan King George V, Seremban, Negeri Sembilan, mereka  tidak ada kuasa untuk menghalang kegiatan berkenaan yang terletak di bawah pentadbiran PBT, iaitu Majlis Bandaraya Seremban.

“Kami hanya boleh keluarkan arahan agar penjaja berada 40 ke 50 meter dari pintu pagar sekolah seperti yang ditetapkan dalam garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kami juga mengeluarkan surat amaran kepada penjaja yang berdegil dan melaporkan kepada PBT berhubung penjaja yang tidak mematuhi garis panduan tersebut,” kata Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan Mahani Mohd Baseri.

Beliau, pada masa sama, berkata pihak sekolah sentiasa memastikan makanan yang dijual di kantin mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KPM.  

“Kantin sekolah dilarang menjual makanan ringan, makanan segera atau yang diproses seperti sosej, nuget dan seumpamanya. Kami sentiasa memantau apa yang dijual di kantin sekolah selain menyediakan fail pemeriksaan kendiri yang dilakukan oleh pekerja kantin dan dikawal selia oleh guru-guru,” katanya.

Menurut kajian bertajuk Fast-Food Consumption among Children According to Shari’ah Perspective yang diterbitkan pada Julai 2021,  pengambilan makanan segera dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan kerana amalan itu dikaitkan dengan pemakanan tidak sihat serta kesan ke atas kesihatan dalam jangka panjang.

Kebimbangan itu disebabkan oleh obesiti dalam kalangan kanak-kanak serta lain-lain penyakit berbahaya dikaitkan dengan pemakanan berzat rendah, tinggi lemak dan garam. Secara purata, kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun di Malaysia mengambil makanan segera dua kali seminggu.

Pengambilan makanan segera ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk peningkatan pengiklanan, pertumbuhan restoran makanan segera dan anjakan gaya hidup semasa, terutama dari segi pilihan makanan. 

USAHA mencegah obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD) memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan, dalam menyediakan kawasan permainan yang selamat dan terjaga bagi membolehkan penduduk beriadah serta mengamalkan gaya hidup sihat. Foto BERNAMA

BESAR TETAPI ‘KECIL’

Berkongsi obesiti bukan hanya mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kesihatan fizikal dan penyakit tidak berjangkit (NCD), Profesor Pediatrik, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata golongan itu bahkan berisiko tinggi mengalami masalah emosi dan kesejahteraan mental. 

Kata Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan UM dan UM Specialist Centre (UMSC) itu lagi,  stres dan kemurungan antara “dilema dalam diam” yang sering dialami oleh kebanyakan kanak-kanak dengan masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

“Mereka rasa sangat ‘kecil’ walaupun badan mereka sangat besar. Lazimnya kanak-kanak obes bila rasa ‘down’, mereka akan terus makan dan makan, yakni tidak membawa kepada jalan keluar masalah.

“Sekiranya stres dan murung dikenal pasti berlaku, kanak-kanak ini akan dirawat menggunakan kaedah psikologi terlebih dahulu untuk terapi dan motivasi. Namun sekiranya masih tidak berkesan, kita akan libatkan pakar psikiatri dan perlu mulakan dengan kaedah ubat-ubatan untuk bantu mereka,” katanya.

Bercerita pengalaman merawat seorang pesakit kanak-kanak obes berumur 11 tahun, beliau berkata kanak-kanak itu dibawa oleh datuknya kerana masalah tidak boleh berkhatan disebabkan oleh berat badan berlebihan mengakibatkan zakar tenggelam.

Zakar tenggelam boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk obesiti, penuaan atau kecederaan yang mengakibatkan kulit berlebihan atau lapisan lemak menutupi zakar, dan boleh menyukarkan beberapa prosedur perubatan.

“Jika kanak-kanak memiliki penis tenggelam, maka proses berkhatan tidak boleh dilakukan dengan laser atau ‘clamp’ kerana berisiko tinggi sekiranya luka khatan tidak dapat dibersihkan dengan sempurna dan terdedah kepada jangkitan kuman.

“Kami cadangkan dia ikut diet dan aktiviti fizikal yang kami tetapkan dan dia betul-betul patuh. Hasilnya, dia berjaya turunkan berat badan dan selepas itu dapat berkhatan seperti kanak-kanak lain.

“Datuknya datang semula berjumpa saya dan menangis. Di sini kita lihat bagaimana berat badan berlebihan dan obesiti ini memberi kesan emosi bukan sahaja kanak-kanak itu bahkan ahli keluarga yang turut bimbang dengan keadaan mereka,” katanya.

Berkongsi dapatan kajian yang dilakukan oleh beliau dan pasukan penyelidiknya yang diterbitkan pada Januari tahun ini,  Dr Muhammad Yazid berkata sebanyak 22,816 pelajar sekolah rendah dan menengah disaring, dan daripada jumlah itu, 29.4 peratus murid sekolah rendah serta 26.8 peratus pelajar sekolah menengah dikategorikan sebagai berat badan berlebihan dan obes. 

Beliau berkata penemuan itu mencerminkan keperluan intervensi berkesan pada kadar segera, yang membawa kepada program ‘My Body is Fit and Fabulous at School’ (MyBFF@school), dibiayai oleh KKM.

“MyBFF@school ialah program intervensi berpusat di sekolah, bertujuan menangani obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Program itu menggabungkan aktiviti fizikal, pendidikan pemakanan dan sokongan psikologi bagi membantu pelajar sekolah mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

“Program merangkumi permainan terstruktur, syarahan kesihatan dan sesi motivasi yang bermatlamat menambah baik kecergasan fizikal dan kesejahteraan mental,” katanya.

METFORMIN digunakan untuk kencing manis jenis 2, boleh diberikan kepada kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas jika kanak-kanak tersebut menunjukkan tanda-tanda kerintangan insulin ataupun pradiabetes Foto BERNAMA

SINDIR BADAN, MANGSA BULI

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-kanak CPC International Dr Noor Aishah Rosli berkata terdapat kanak-kanak obes yang berasa malu dan tertekan dengan saiz badan mereka, kurang keyakinan diri serta mengelak untuk bersosial dan mengasingkan diri.

Beliau berkata perkara itu akhirnya membuatkan mereka rasa terpinggir, menjejaskan emosi dan mental, seterusnya boleh memberi kesan terhadap prestasi akademik.

“Kesan psikologi yang paling biasa dialami kanak-kanak obes ialah mereka sensitif dengan penampilan fizikal, termasuk dengan apa yang dipakai kerana masyarakat amnya menganggap orang gemuk dan obes tidak cantik. Mereka juga takut hendak bersosial kerana bimbang dibuli, baik dari segi percakapan ataupun perbuatan, yang membuatkan mereka berasa lebih teruk.

“Banyak kita lihat, bukan sahaja di sekolah, mereka yang berbadan besar ini seolah-olah jadi bahan – secara sengaja ataupun tak sengaja – ‘body shaming’ (sindir badan) dan sebagainya. Saya pernah kendalikan kes seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang tidak mahu ke sekolah kerana digelar gajah oleh kawan-kawan disebabkan dia obes.

“Sangat kasihan. Ketika itu dia baru berpindah ke sekolah baharu, jadi memang ambil masa nak sesuaikan diri dengan persekitaran. Kanak-kanak lain ada yang mentertawakannya dan tidak mahu berkawan. Dia rasa tertekan dan menangis setiap kali balik sekolah. Jadi kita bantu dengan cara terapi minda supaya dia lebih positif untuk berdepan dengan perkara itu,” katanya.

FAHAMI MEREKA

Mengulas lanjut, Dr Noor Aishah berkata kanak-kanak yang berbadan besar atau obes berisiko tinggi menjadi mangsa buli secara fizikal ataupun di alam siber, sekali gus menyebabkan mereka tidak berminat untuk bercampur gaul dan mendedahkan diri di tengah khalayak umum.

Beliau berkata antara tanda-tanda awal kanak-kanak obes berdepan masalah kesihatan mental ialah kemurungan, corak tidur berubah, selera makan tidak menentu, cepat marah, menjadi sangat sensitif dan mudah tersinggung walaupun dengan perkara kecil.

Menurut beliau, pelaksanaan program penurunan berat badan bagi kanak-kanak obes, terutama usia tujuh hingga 12 tahun, lebih mencabar berbanding remaja berumur 16 hingga 18 tahun, kerana kanak-kanak pada usia berkenaan masih dalam fasa ‘seronok makan’, sementara golongan remaja pula sudah ada motivasi untuk kelihatan cantik, cergas, bergaya dan bebas daripada obesiti.

“Cabaran lain termasuk tekanan daripada ahli keluarga sendiri yang suka menyindir dan menjadikan fizikal kanak-kanak itu sebagai bahan jenaka. Ada kanak-kanak obes ini yang tahan lapar dan tidak makan sampai dua hari kerana stres, selain percaya boleh kurus cepat jika tidak makan, sedangkan untuk turunkan berat badan berlebihan secara sihat ambil masa yang lama.

“Ada juga kanak-kanak obes yang saya rawat berdepan masalah sukar tidur atau insomnia, pradiabetes dan tekanan darah tinggi. Bila dah ada penyakit sebegini, susahlah mereka nak berseronok dengan aktiviti sekolah dan zaman kanak-kanak mereka terjejas. Mereka tidak boleh bersaing dalam aktiviti sukan, tidak larat untuk sertai aktiviti kokurikulum dan sebagainya,” katanya.

MANIS, MURAH BERBAHAYA

Mengulas ketersediaan secara meluas makanan ringan, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)  N.V. Subbarow berkata pada hari ini, ratusan produk makanan ringan dan minuman dijual di pasaran dengan kebanyakannya diimport dari negara jiran dan direka bentuk khusus untuk menarik perhatian kanak-kanak.

Produk berkenaan, terutama minuman bergula dan berwarna-warni, selalunya dijual pada harga serendah 60 hingga 70 sen, iaitu lebih murah berbanding produk tempatan sekali gus menambahkan lagi daya tarikannya.

Katanya cara produk dibungkus serta penggunaan pelbagai warna memang bertujuan untuk menarik perhatian kanak-kanak, sementara dari segi kandungan pula hampir tiada zat selain paras gula yang tinggi.

“Isu ini sangat membimbangkan. Ada ibu bapa yang memberitahu kami anak-anak mereka enggan makan sayur dan buah-buahan, sebaliknya memilih makanan manis ini. Malah, sesetengah kanak-kanak langsung tidak mahu lagi minum air masak – hanya mahu air berwarna-warni dengan kandungan gula yang tinggi,” katanya.

Beliau menggesa pihak berwajib agar segera melaksanakan langkah menyekat import dan penjualan secara berleluasa produk sedemikian, terutamanya  berhampiran sekolah dan juga di pasar raya, pasar mini serta pasar malam. 

“Sekiranya perkara ini dibiarkan berterusan tanpa kawalan, produk diproses berkenaan akan membanjiri pasaran. Tanpa kawal selia, anak-anak kita akan terus berdepan dengan risiko kesihatan yang serius pada usia sangat muda, dan masalah ini sudahpun kita lihat berlaku,” kata beliau. 

Beliau turut menggesa KKM serta pihak berkuasa lain agar menganjurkan kempen kesihatan di seluruh negara secara berterusan, bukan setakat menerusi media tetapi juga di sekolah, menggunakan bahan-bahan visual seperti poster dan panji-panji untuk mendidik tidak hanya kanak-kanak bahkan ibu bapa tentang bahaya pemakanan mengandungi gula tinggi serta obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Kesimpulannya, ketika Malaysia berdepan krisis obesiti dalam kalangan kanak-kanak, para pakar kesihatan menekankan bahawa isu ini bukan sekadar berkaitan pengurusan berat badan, sebaliknya melibatkan perlindungan harga diri kanak-kanak.

Ramai antara kanak-kanak obes cenderung mengasingkan diri, menanggung luka emosi yang mendalam akibat diejek dan dihina oleh orang lain. Lebih daripada sekadar tabiat pemakanan sihat dan perubahan gaya hidup, mereka juga memerlukan empati, kefahaman serta peluang untuk diterima seadanya, bukan dinilai semata-mata berdasarkan rupa fizikal.

Minggu depan (Isnin): Dalam bahagian akhir, Bernama mendapatkan maklum balas pakar dan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung tindakan segera langkah yang diambil dalam menangani masalah obesiti kanak-kanak di negara ini termasuk dari sudut peraturan dan akta khusus. 

[Artikel ini dihasilkan di bawah Program Media Fellowship “Komunikasi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD)” anjuran Probe Media Foundation Inc. (PMFI), Reporting ASEAN (RA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini tidak semestinya mencerminkan pandangan PMFI, RA dan WHO.] — Bernama

Continue Reading

Previous: Apabila montel jadi beban: Obesiti tingkat risiko NCD kanak-kanak  
Next: Malaysia berdepan krisis kanser hati, 74 peratus kes dikesan tahap akhir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.